Sunday 2 September 2012

Isu Guru: Gangguan Seksual Terhadap Murid


Nama: Elaine Wong Chee Hui


Isu Guru: Gangguan Seksual Terhadap Murid

1.0          Pengenalan

Paparan isu dan masalah tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru sering kali dilaporkan tidak kira melalui media cetak atau media elektronik. Paparan isu ini sering kali dijadikan isu yang hangat dan menjadi topik perbincangan oleh masyarakat di seluruh Malaysia secara amnya dan di seluruh dunia secara khususnya.  Pelbagai masalah yang melibatkan etika perguruan sering dilaporkan melibatkan beberapa kes tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru seperti kes rasuah, gangguan seksual, dera dan sebagainya.

Sebagai contohnya isu gangguan seksual iaitu mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang dilakukan oleh seorang guru lelaki yang dilaporkan oleh akhbar myMetro yang bertarikh 25 Mac 2011 telah menjadikan isu ini semakin hangat diperkatakan di segenap lapisan masyarakat. Berdasarkan isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru yang berumur 29 tahun dengan niat mahu mencabul kehormatan seorang murid yang berusia 11 tahun iaitu memeluk badan, mencium dan meraba buah dada, ini menunjukkan bahawa guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dengan membuat gangguan seksual ke atas muridnya.  Isu gangguan seksual yang dilakukan oleh guru ini semakin berleluasan dari hari ke hari. Persoalannya mengapa isu gangguan seksual ini berlaku?

Kejadian gangguan seksual semakin berleluasan dewasa ini. Gangguan seksual ini bukan sahaja berlaku di tempat kerja dan tempat awam malah isu ini telah menular di sekolah dimana mangsanya ialah murid-murid. Gangguan seksual yang dilakukan oleh para pendidik ini menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab dalam melindungi anak murid di bawah jagaan mereka. Sering kali kita dengar terdapat tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru tidak kira guru itu muda atau tua. Ini memberikan gambaran bahawa sekolah bukan lagi institusi yang selamat dari masalah ini jika hal ini dilakukan sendiri oleh guru.

           Kod Amalan (1999) mentakrifkan gangguan seksual contohnya mencium ialah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak dingini dan memberi kesan samada secara lisan, isyarat, visual, psikologi atau fizikal. Gangguan seksual boleh dikategorikan kepada 2 bahagian iaitu gangguan seksual berbentuk ugutan (sexual coercion) dan gangguan seksual berbentuk ancaman terhadap ketenteraman peribadi (sexual annoyance).

Gangguan seksual berbentuk ugutan ialah gangguan yang memberikan kesan secara langsung kepada mangsanya contohnya seseorang pelaku mempunyai kuasa untuk cuba mengugut mangsanya untuk mendapatkan kepuasan mereka. Manakala gangguan seksual secara peribadi ialah tingkah laku seksual yang dianggap oleh mangsa sebagai ancaman, ugutan atau penghinaan.

Kementerian Sumber Manusia (1999) mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis iaitu gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara fizikal dan gangguan secara psikologikal. Gangguan secara lisan ialah  bentuk gangguan yang dapat dilihat dalam penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual sehingga seseorang berasa tersinggung, terhina atau terugut.

Selain itu, gangguan secara isyarat (Bukan Lisan) ialah gangguan yang dipamerkan melalui sikap atau perlakuan seseorang yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual antara lain, seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau mengguna bahasa isyarat yang lain. Manakala gangguan secara visual ialah perlakuan menghantar nota, surat, e-mail, pesanan ringkas (sms), gambar, poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi kepada mangsa yang menyebabkan mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut juga terjumlah kepada gangguan seksual.

Di samping itu, gangguan secara fizikal ialah gangguan yang berbentuk sentuhan fizikal yang berunsur seksual seperti mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa, memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa berasa tersinggung, terhina atau terugut. Manakala gangguan secara psikologi ialah mangsa cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual seseorang sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang bentuk peralatan komunikasi kepada mangsa yang menimbulkan tekanan emosi dan mental ke atas mangsa.

2.0          Punca Tingkah Laku Guru Bagi Kes/ Isu Tersebut

Gangguan seksual contohnya cabul adalah satu isu tingkah laku yang negatif yang dilakukan oleh guru terhadap murid sehingga murid tersebut takut untuk ke sekolah. Keselamatan murid tersebut telah terancam kerana perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut sangat keterlaluan.  Menurut Koss (1990), murid yang mengalami gangguan seksual iaitu dicabul seringkali merasa diri mereka sebagai mangsa dan menukar corak hidup mereka menjadi pendiam, kurang bergaul dan sebagainya. Murid yang menjadi mangsa ini melarikan diri dari keadaan tersebut menyebabkan peluang untuk belajar mereka rosak dan menjejaskan masa depan mereka.

Murid yang mengalami gangguan seksual akan menanggung tekanan yang tinggi termasuk perasaan takut, marah, murung, malu, mudah tersinggung dan kurang motivasi untuk belajar (Koss, 1994).  Keadaan yang dialami oleh murid ini berpunca dari guru yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan murid tersebut. Terdapat pelbagai teori yang boleh dikaitkan dengan punca tingkah laku yang dilakukan oleh guru tersebut terhadap muridnya. Persoalannya adakah punca ini menyebakan guru berkelakuan begini?

Antara punca tingkah laku negatif yang dilakukan guru bagi kes gangguan seksual (mencabul) pertamanya ialah kurang memahami etika keguruan. Guru yang memahami etika keguruan tidak akan tergamak melakukan perkara sedemikian terhadap anak muridnya sendiri. Ini berbeza pula dengan guru tersebut kerana telah melanggar kod etika guru yang telah digariskan. Ini menunjukkan bahawa guru tersebut tidak mengerti dan memahami apa yang terkandung dalam kod etika guru. Berdasarkan kod etika perguruan sepatutnya setiap ahli profesion iaitu guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan. Tetapi dalam kes ini yang terjadi adalah sebaliknya.

Selain itu, punca berlakunya tingkah laku negatif di kalangan guru ini ialah mereka mempunyai masalah keluarga. Guru yang mengalami masalah keluarga contohnya penceraian mengalami tekanan dan emosi yang tidak stabil. Ini bermakna guru yang mengalami krisis rumah tangga ini tiada tempat untuk mengadu dan meluahkan perasaan kasih sayang. Hal ini menyebabkan guru tersebut mengambil  jalan mudah dengan melakukan gangguan seksual kepada anak muridnya sendiri bagi melepaskan tekanan yang dihadapi oleh mereka.

Menurut teori seksualiti menjelaskan bahawa perkembangan hidup dan tingkah laku manusia adalah didorong oleh kemahuan, kehendak dan kuasa seksualiti (Abd Rahim, 2003). Di sini jelas menunjukkan bahawa seks adalah satu keperluan asas kepada orang dewasa dan cara manusia mencapai kehendak dan keperluan seksual pada umurnya mencorakkan perkembangan tingkah laku, sahsiah, emosi dan moral. Ini menunjukkan bahawa, masalah rumah tangga seperti penceraian menyebabkan keperluan seksual tidak dapat dipenuhi menyebabkan guru terbabit menjadikan murid sebagai tempat untuk melepaskan tuntutan seksual mereka.

Di samping itu juga, antara punca penyumbang kepada tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru tersebut ialah pengaruh media massa tidak kira media cetak atau media elektronik. Mengikut kajian yang dilakukan pengaruh media elektronik lebih banyak dari media massa kerana media elektronik mudah didapati dengan meluas tanpa sekatan. Pengaruh ini akhirnya mendorong guru tersebut melakukan perkara seumpama ini terhadap anak muridnya. Pengaruh media massa contohnya media cetak membolehkan guru tersebut mendapatkan bahan lucah melalui buku, majalah dan sebagainya dengan mudah seterusnya membuat gangguan seksual kepada anak muridnya.

Manakala melalui media elektronik seperti penggunaan internet, telefon bimbit dan sebagainya membolehkan bahan-bahan lucah mudah didapati dan mudah di layari berbanding medium yang lain. Ini menyebabkan guru tersebut mudah mendapatkan bahan bagi tujuan sedemikian. Oleh itu, apa yang dilihat dan dipelajari telah di aplikasikan ke atas murid. Sudah sedia maklum bahawa kes keganasan seksual kanak-kanak di luar negara semakin berleluasan dimana kanak-kanak dijadikan hamba seks. Dengan kata lain, guru tersebut telah meniru budaya tersebut yang diperolehi melalui media elektronik yang begitu banyak dewasa ini sehingga melakukan gangguan ini terhadap anak muridnya sendiri.

Tiada kesedaran agama juga adalah punca kepada tingkah laku negatif yang  dilakukan oleh guru tersebut. Kesedaran agama yang kurang terutama tentang hukum halal dan haram menyebabkan seseorang guru tersebut sanggup melakukan perkara terkutuk itu demi kepuasan mereka sendiri. Kesedaran agama yang kurang iaitu tidak menggunakan ilmu yang dipelajari  dengan sebaik mungkin menyebabkan guru tersebut tidak dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Guru tersebut juga tidak menjaga pergaulan beliau dengan anak muridnya dimana dia sanggup membuat gangguan seksual keatas anak muridnya sendiri. Di sini jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan oleh guru tersebut bukan mencerminkan beliau sebagai seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Jika difikir kembali tidak mungkin akan berlaku kes seumpama ini kalau guru tersebut mempunyai kesedaran agama yang tinggi serta takutkan balasan dari Tuhan.

Selain itu, punca tingkah laku negatif ini ialah pengaruh pil peransang. Kebanyakkan kes yang melibatkan gangguan seksual ini sering kali dipengaruhi oleh pengambilan pil peransang seperti Viagra yang tidak terkawal dan dijual di pasaran secara terbuka.  Apabila pengambilan pil peransang secara tidak terkawal, keinginan seksual semakin meningkat menyebabkan berlakulah gangguan seksual keatas murid. Kebanyakkan guru lelaki yang tidak berkahwin atau telah bercerai yang menggunakan pil peransang ini akan cuba membuat gangguan seksual terhadap anak muridnya apabila teransang. Dalam situasi ini, guru tersebut hanya ingin memuaskan diri mereka tanpa mengira nasib yang akan menimpa anak murid apabila berkelakuan negatif seperti ini.

Tambahan lagi, punca yang menyebabkan tingkah laku negatif ini ialah tekanan kerja yang dihadapi menyebabkan guru tersebut mengalami stress yang tinggi. Mengikut Kyriacou (2000), stress guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbingan, kemarahan dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai guru. Bebanan kerja yang terlalu banyak, dimarahi oleh pihak pentadbir, disisihkan dan sebagainya adalah contoh tekanan kerja yang dihadapi oleh guru setiap hari menyebabkan guru itu tidak dapat berfikir panjang seterusnya mencari jalan lain untuk melepaskan tekanan yang dihadapi.  Guru terbabit menggangap, gangguan seksual yang dilakukan ini boleh mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi namun kesan dari perkara itu lebih teruk dari apa yang dijangkakan. Selain itu, pengurusan tekanan yang tidak betul menyebabkan guru tersebut menggunakan murid sebagai alat untuk gangguan seksual bagi melepaskan tekanan yang dihadapinya.


3.0          Kesan Jangka Pendek Dan Jangka Panjang Kepada Guru, Profesion Perguruan Dan Pihak Lain (Sekirannya Terlibat)

Sekiranya masalah ini tidak dibendung dengan baik, mungkin masalah ini akan menular dengan lebih teruk lagi. Kesan dan akibat dari perbuatan tingkah laku guru yang negatif ini bukan sahaja akan tmemberi kesan kepada diri guru tersebut sahaja namun kesannya akan turut dirasai oleh mangsa gangguan seksual, guru-guru lain, sekolah, masyarakat dan sebagainya.

3.1 Guru
Antara kesan jangka pendek yang akan menimpa guru yang melakukan perbuatan ini ialah menyebabkan hubungan guru dan murid menjadi semakin rengang dimana semua murid membenci dan takut untuk menuntut ilmu dengan guru tersebut. Dalam situasi ini, murid berasa tidak selamat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Selain itu, hubungan guru dan rakan sejawatannya juga akan musnah kerana mereka semua tidak lagi mempercayai guru tersebut selepas sekali melakukan perkara yang tidak senonoh. Guru tersebut akan mengalami tekanan emosi juga adalah kesan jangka pendek yang akan dihadapi dimana guru tersebut mungkin mengalami konflik jiwa yang serius akibat dari perbuatannya. Mengikut Terri Mauro (2004), terdapat banyak faktor yang berkait dengan gangguan emosi contohnya masalah ketidakfungsian otak, pemakanan dan masalah keluarga.

Di samping itu juga, keluarga guru yang terbabit dalam tingkah laku negatif ini mungkin akan mendapat kesan yang buruk contohnya mungkin keluarga beliau akan dibenci dan dicemuh oleh masyarakat. Ini menyebabkan keluarga beliau akan hidup dalam suasana yang tidak tenteram. Tambahan lagi, kesan jangka pendek yang akan menimpa guru tersebut ialah beliau akan hilang pekerjaan dan mata pencarian akibat dari perbuatan mereka yang tidak senonoh itu.

Kesan jangka panjang yang akan ditempuhi oleh guru tersebut ialah mereka tidak lagi diterima oleh masyarakat dimana masyarakat akan memandang serong kepada mereka.  Selain itu kesannya juga ialah guru tersebut akan dipindahkan ke sekolah yang lain bagi menjaga nama baik sekolah tersebut. Di samping itu juga, guru tersebut tidak ada tempat dalam masyarakat dimana beliau bukan lagi menjadi guru yang boleh dipercayai oleh masyarakat.

Kesan jangka pendek kepada guru lain ialah, masyarakat tidak lagi mempercayai bahawa guru dapat mendidik dan mengajar anak mereka menyebabkan tugas guru tidak lagi di pandang sebagai satu tugas yang mulia oleh masyarakat. Kesan daripada itu juga menyebabkan guru-guru walaupun mereka tidak bersalah akan diselubungi dengan perasaan malu terhadap masyarakat dengan tindakan yang dilakukan oleh rakan sejawatannya yang berkelakuan negatif. Kesan jangka panjang kepada guru yang lain menyebabkan mereka sendiri tidak lagi berminat untuk meneruskan profesion ini lagi. Selain itu guru-guru yang lain tidak lagi mempunyai perasaan seorang pendidik jika masalah ini berleluasan.

3.2 Profesion Perguruan
Kesan jangka pendek dari tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru ini menyebabkan profesion perguruan ini dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat tidak lagi mempercayai kepada profesion perguruan sehingga menyebabkan profesion ini tidak lagi diperlukan oleh masyarakat. Selain itu, profesion perguruan tidak lagi dianggap mulia oleh masyarakat dimana mereka tidak lagi mempercayai bahawa profesion ini dapat membantu anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang selamat dan berkesan. Tambahan pula, profesion ini tidak lagi dihormati oleh masyarakat terutama ibu bapa dan murid-murid.

Manakala kesan jangka panjang kepada profesion perguruan menyebabkan generasi muda tidak lagi berminat untuk menjadi guru dan ini mengakibatkan profesion ini kekurangan genarasi muda yang berbakat untuk mendidik anak bangsa. Di samping itu juga, kesan dari ini kerajaan tidak lagi dapat melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pelbagai aspek kerana kekurangan generasi muda yang ingin menceburi bidang ini. Mengikut Lilia dan Norlena (1998), penyusutan kuasa untuk menjalankan tugas secara professional menyebabkan profesion perguruan menurun di kaca mata masyarakat.

3.3 Sekolah
Kesan jangka pendek yang menimpa sekolah ialah reputasi sekolah  atau nama baik sekolah akan menurun menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah tersebut. Selain itu, sekolah tidak lagi dianggap sebagai institusi pendidikan yang memberi pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid. Manakala kesan jangka panjang yang menimpa sekolah ialah sekolah dilabel sebagai tempat yang tidak bermoral kerana membiarkan masalah gangguan seksual berleluasan secara tidak terkawal.  

3.4 Ibubapa Dan Masyarakat
Kesan pendek dari kes ini menyebabkan hubungan ibubapa dan guru menjadi rengang dimana ibubapa tidak lagi mempercayai kredibiliti guru untuk mendidik anak mereka menjadi insane yang berguna.  Di samping itu juga, masyarakat akan memandang serong kepada semua pihak termasuklah guru dan pentadbir sekolah. Tambahan lagi, kesannya ialah ibubapa tidak puas hati dengan layanan guru terhadap anaknya.  Manakala kesan jangka panjang yang menimpa ibubapa dan masyarakat ialah mereka menyalahkan guru sehingga guru tersebut dibenci dan dicaci oleh masyarakat yang lain. selain itu, ibubapa membawa isu gangguan seksual ini kepada pihak atasan seperti polis dan peguam bagi mendapat keadilan bagi pihak anak mereka.

3.5 Mangsa Gangguan Seksual
Kesan jangka pendek yang dialami oleh mangsa gangguan seksual ialah mangsa lebih cenderung berdiam diri, bersendirian, murung dan sebagainya. Ini menyebabkan mangsa tidak lagi berminat untuk belajar sehingga prestasi mangsa menurun.  Tambahan pula kesan jangka panjang ialah mangsa gangguan seksual akan phobia dengan guru terutama guru lelaki. Kesan jangka panjang kepada mangsa ialah mangsa mengalami tekanan emosi dan jiwa yang tinggi sehingga mangsa cuba membuat perkara yang tidak diingini contohnya membunuh diri dan sebagainya.

4.0          Kod Etika Guru Yang Berkaitan

Kod etika ialah peraturan, adab kebiasan manusia dalam pergaulan antara satu sama lain dan aturan ini menegaskan apa yang benar dan apa yang salah. Kod etika guru adalah peraturan untuk membantu guru yang profesional agar mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub demi menjaga imej profesion. Mengikut Nikki (2009) pula etika dianggap sebagai pedoman perilaku yang dikenal pasti berkaitan dengan tindakan manusia dalam bahagian tertentu manakala Bascom (2007) menganggap etika sebagai ilmu mengenai suatu kewajiban.

Antara fungsi kod etika ialah memberikan pedoman bagi setiap ahli dalam profesion mengenai prinsip profesionalisme yang dirangka. Ini bermakna setiap ahli yang juga guru sedia maklum tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Fungsi kod etika juga ialah merupakan kawalan sosial untuk masyarakat atas profesion yang berkaitan. Ini bemakna bahawa etika profesion dapat menyediakan pengetahuan kepada masyarakat supaya lebih memahami kepentingan suatu profesion. Akhir sekali fungsi kod etika ialah membantu para profesional mencegah campur tangan pihak di luar organisasi profesion tentang hubungan etika dalam keanggotaan profesion.

Kod etika perguruan adalah pedoman dan panduan kepada guru dalam menjalankan tugas mereka dengan bertanggungjawab membimbing murid-murid untuk mencapai kemajuan sepenuhnya. Di dalam kod etika perguruan terdapat 4 tangggungjawab yang perlu dipatuhi dalam profesion ini iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibubapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan Negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan.

Berdasarkan isu tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru dalam kes gangguan seksual (mencabul), kita dapati guru tersebut telah melanggar kod etika perguruan dimana beliau tidak menunjukkan tanggungjawab terhadap pelajar. Dalam kes ini sepatutnya guru tersebut mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar namun guru tersebut telah melakukan perkara yang sebaliknya terhadap pelajarnya. Kes seperti ini tidak seharusnya dilakukan kerana ia mencemarkan nama baik profesion ini sehingga menyebabkan murid tersebut tidak lagi selamat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran.

Selain itu, berdasarkan kod etika perguruan, guru sepatutnya bertanggungjawab dalam menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberi contoh. Dalam isu gangguan seksual ini, guru tersebut tidak bertanggungjawab dalam memberi contoh yang baik kepada murid dimana guru tersebut menunjukkan tingkah laku yang negatif dengan membuat gangguan seksual secara terangan ke atas murid dengan mencium murid tersebut.  

Di samping itu kod etika yang terlibat dalam kes ini ialah guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan. Tambahan lagi, guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan berguna. Ini berbeza dengan guru yang membuat gangguan seksual tersebut sehingga melakukan sikap yang tidak baik terhadap muridnya.

Demikian juga dengan kod etika bahawa guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibu bapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat, guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibu bapa terhadapnya serta guru tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau Negara. Kod etika ini jelas menunjukkan bahawa guru yang melakukan gangguan seksual tidak mengikut kod etika yang digariskan sebagai seorang pendidik. Secara kesimpulannya, kod etika yang menjadi panduan kepada semua guru tidak digunakan dan diamalkan oleh guru yang melakukan tingkah laku yang negatif tersebut.

5.0          Cadangan Mengatasi Tingkah Laku Guru Yang Negatif Tersebut

Gangguan seksual yang berlaku keatas murid ini bukannya penghujung kepada kes yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Mungkin suatu hari nanti kes ini menjadi semakin serius jika tidak ditangani dengan segera. Tingkah laku yang negatif ini boleh dibendung jika masyarakat berkerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.

Pendidikan merupakan satu kaedah yang terbaik untuk mengatasi tingkah laku guru yang negatif dimana melalui kaedah ini kita boleh membangunkan kesedaran guru tentang bahaya gangguan seksual yang dilakukan oleh mereka terhadap murid-murid. Kebanyakkan negara maju telah memperkenalkan pendidikan seks kepada semua masyarakat  bagi mendedahkan pelbagai isu dalam menimbulkan kesedaran mengenai gangguan seksual seperti diskriminasi seksual, hak asasi wanita, hilai-nilai baik dalam hubungan antara lelaki dan wanita, pencabulan, penderaan seksual dan sebaginya.  

            Justeru itu kerjaan atau badan bukan kerajaan perlu memainkan peranan yang penting dalam menyediakan pendidikan seks ini supaya dapat menyedarkan masyarakat khususnya guru-guru dalam mengatasi masalah tingkah laku yang negetif ini . Pendidikan seks bukan sahaja sesuai kepada murid, guru-guru dan masyarakat namun kepada pesalah gangguan seksual itu sendiri. Pendidikan seks ini bertujuan untuk memberi maklumat yang sebenar tentang kesalahan seksual yang dilakukan lebih-lebih lagi dilakukan kepada murid-murid. Di samping itu juga, pendidikan seks ini juga mengetengahkan implikasi dan kesan yang diperolehi oleh pesalah gangguan seksual jika mereka terus melakukan gangguan seksual kepada murid-murid.

Selain itu, bagi mengatasi masalah ini, kursus, ceramah atau bengkel  perlu dibuat bagi meningkatkan nilai-nilai dan tingkah laku yang teratur dan bertanggungjawab terutama yang melibatkan penjawat awam contohnya guru. Bagi mengatasi masalah ini hingga ke akar umbi, semua guru perlu menghadiri kursus yang dikendalikan oleh kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab sebagai pendidik. Nilai murini seperti kemanusiaan, kasih sayang, nilai moral, etika, tanggungjawab dan sebagainya perlu di terapkan ke dalam diri semua guru dalam kursus ini bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan gangguan seksual  dari terus berlaku. Nilai hidup yang baik ini dapat memelihara mereka daripada melakukan gangguan seksual yang bertentangan dengan norma hidup yang perlu dipertahankan. Menurut Fullan (1993) menyatakan guru melibatkan diri secara produktif dalam proses perubahan, guru mempunyai tujuan moral yang dikaitkan dengan dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Selain itu bagi menangani masalah tingkah laku guru yang negatif ini (gangguan seksual), kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) perlu menyediakan kemudahan khidmat kaunseling khususnya kepada murid-murid yang mengalami gangguan seksual serta guru yang melakukan gangguan seksual. Di setiap sekolah perlu diwujudkan khidmat bimbimbing dan kaunseling yang dikhaskan untuk guru bagi menangani isu gangguan seksual di mana khidmat ini dikendalikan oleh individu yang pakar dalam masalah ini. Khidmat bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk membolehkan guru mendapatkan bantuan dan nasihat dari pakar kaunseling jika mereka terjebak dengan masalah ini. Menurut Shertzer dan Stone (1981) mengatakan bahawa bimbingan sebagai perkhidmatan membimbing individu yang memerlukannya untuk mencapai kefahaman, pengetahuan dan kemahiran tertentu.

Kuatkan undang-undang juga adalah satu jalan mudah yang boleh diambil bagi mengatasi tingkah laku yang negatif. Penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan kes gangguan seksual dikalangan pendidik ini perlulah dibanteras dengan segera supaya kes seumpama ini dapat diatasi dengan segera. Penguatkuasaan undang-undang seperti penjara, sebatan, hukuman dan sebagainya perlulah dikuatkuasakan bagi mengatasi masalah ini dari terus berleluasan. Dengan adanya penguatkuasaan ini, tingkah laku negatif dikalangan guru mungkin dapat diatasi dan dibanteras dengan segera. Di samping itu juga, guru yang melanggar etika perguruan perlulah dilucut dari jawatannya. Ini dapat memberi pengajaran kepada guru-guru yang lain supaya tidak melakukan perkara yang tidak bermoral ini.

Bagi mengatasi masalah gangguan seksual seperti mencium di sekolah, kempen kesedaran tentang gangguan seksual perlulah diadakan bagi mengatasi tingkah laku negatif yang dilakukan oleh guru. Kefahaman tentang konsep gangguan seksual perlulah diberi melalui kempen kesedaran yang di adakah tidak kira di sekolah atau ditempat awam. Pihak bertanggungjawab seperti media, mangsa sendiri dan pihak berkuasa perlulah perbanyakan  sebaran maklumat mengenai gangguan seksual supaya semua masyarakat terutamanya guru dan masyarakat memahami erti sebenar gangguan seksual. Jika kempen kesedaran ini dijalankan, tingkah laku negatif yang berlaku dikalangan guru mungkin dapat diatasi dengan segera.

Terdapat banyak lagi kaedah yang boleh digunakan dalam menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat umum tentang gangguan seksual seperti menyebarkan maklumat perlakuan gangguan seksual ini seperti menggunakan poster, iklan, hebahan di televisyen dan sebagainya.  Jika masyarakat contohya guru mendapat input yang banyak mengenai gangguan seksual ini contohnya faktor berlakunya gangguan seksual ini saya percaya tingkah laku negatif ini tidak akan dilakukan oleh mereka. Konsep yang betul tentang gangguan seksual perlulah disebarkan bagi mengatasi masalah ini dengan berkesan.  

6.0          Kesimpulan  

Perlakuan gangguan seksual selain bersalahan di bawah peruntukan undang-undang seperti yang sudah dibincangkan, masalah ini juga bercanggah dengan prinsip keadilan asasi. Kepentingan memberi tumpuan kepada kesalahan ini kerana ia mempunyai pertalian rapat dengan banyak objektif pembangunan Negara khususnya bagi gangguan seksual.

Gangguan seksual adalah bentuk bentuk masalah dalaman dan apabila masalah sebegini tidak dibendung, sudah tentu ia akan berleluasan dan mengakibatkan sesebuah organisasi itu gagal beroperasi dengan produktif contohnya apa yang berlaku kepada guru yang melakukan kesalahan ini. Menurut Sinclair dan Anor (1994), gangguan seksual boleh dirujuk sebagai salah satu bentuk diskriminasi yang melibatkan penghinaan, penganiayaan dan kelakuan yang mengancam pihak yang terlibat oleh seseorang atau sekumpulan orang kerana hendak memenuhi keingini seksual mereka. Kesan yang akan berlaku kepada Negara amat buruk sekali apabila banyak organisasi tidak produktif. Untuk itu, peranan undang-undang yang boleh mengawal ganguan seksual yang dilakukan oleh guru daripada berlaku amatlah penting.

Sebagai kesimpulannya saya dapat simpulkan bahawa gangguan seksual merupakan tingkah laku  negatif dan  tidak bermoral yang mana boleh merendahkan kehormatan sama ada kepada mangsa atau pelakunya sendiri. Bagi mengelak gangguan seksual ini terus berleluasan, setiap orang tidak kira lelaki atau perempuan perlulah saling menjaga akhlak masing-masing.

Oleh itu, bagi mengatasi isu gangguan seksual dengan lebih berkesan, setiap orang sama ada lelaki atau perempuan perlu saling memelihara akhlak antara satu sama lain. Dengan mengambil ajaran Islam, sekiranya kita menggunakan dan mengamalkan panduan telah digariskan dalam ajaran Islam saya percaya kita boleh  mengelakkan berlakunya gangguan seksual secara berleluasan.


Artikel dari laman web rasmi:



Isu Guru—Pendidik mesti bijak kawal emosi

Nama: Geraldine Sia Sing Ee


Isu Guru—Pendidik mesti bijak kawal emosi 

Tekanan boleh berlaku kepada sesiapapun tanpa mengira masa dan di mana-mana sahaja hatta di bandar mahupun di desa. Namun jika dilihat, tekanan sebenarnya lebih banyak berlaku di kawasan perbandaran terutamanya bandar-bandar besar  yang secara kebiasaannya melibatkan penduduk-penduduk yang bekerja, belajar mahupun yang menetap di kawasan tersebut.  Walaupun penduduk yang mendiami kawasan perkampungan ataupun desa sekalipun tidak dapat lari daripada tekanan, tetapi punca dan kesan tekanan di kampung tidaklah sehebat seperti mana mereka yang menetap di kawasan bandar.  Perkara ini dapat dibuktikan oleh laporan akhbar (Utusan Malaysia, 2007), di mana tekanan hidup di bandar merupakan punca utama yang menyumbang kepada penyakit mental. Perkara ini boleh difahami kerana persekitaran kehidupan di bandar yang serba-serbinya sukar seperti kos hidup yang terlampau tinggi, kesukaran mendapat pekerjaan, kesesakan jalanraya, kadar jenayah yang tinggi, kepadatan penduduk yang tinggi, kawasan penempatan yang terhad, pencemaran alam, tahap hubungan ataupun komunikasi di dalam masyarakat yang rendah, masalah sosial yang kronik dan sebagainya.

Kamus Dewan(1999) mendefinisikan tekanan sebagai satu desakan atau paksaan yang diterima oleh seseorang.  Ini bermaksud tekanan adalah suatu keadaan di mana kekuatan fizikal, mental dan emosi seseorang individu teruji melampau keupayaan tubuh dan mindanya yang tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi.  Hans Selye (1963), telah memberikan maksud yang baru mengenai tekanan dengan membuktikan di dalam kajiannya terhadap binatang.  Beliau menunjukkan bahawa tekanan boleh menyebabkan penyakit, seterusnya penyakit yang dihidapi akibat daripada tekanan yang berlebihan boleh membawa maut. Situasi yang sama boleh berlaku ke atas manusia.  Schafer (1992) pula mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbals kepada permintaan terhadap dirinya.  Fontana (1989) juga memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, maka tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif.  Sebenarnya tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan setiap insan, setiap gologan masyarakat tidak mengira usia akan berisiko untuk mengalami tekanan, cuma yang membezakannya adalah mengetahui kehadirannya atau tidak dan cara mengendalikan tekanan di dalam kehidupan seharian seseorang itu.  Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Institut Of Stress di New York, Amerika, didapati bahawa 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stres yang amat tinggi sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus mengalami stres setiap hari.  Perangkaan ini menunjukkan bahawa stres dalam kehidupan seseorang individu yang semakin menjadi trend semasa.

Profesion perguruan merupakan satu profesion yang amat penting dalam masyarakat.  Profesion ini juga merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sangat mencabar.  Ini kerana guru dianggap pemberi kesan yang besar terhadap perkembangan kognitif (mental), afektif (sikap), kebolehan serta kemahiran fizikal dan sosial para pelajarnya.  Oleh yang demikian, seseorang individu yang berhasrat untuk menjadi guru hendaklah bersedia dari segi mental dan fizikal serta terdiri dari mereka yang terbaik dalam masyarakat.  Selain itu, individu tersebut juga hendaklah berusaha menjadi seorang pendidik dan pembimbing kepada para pelajarnya supaya mereka berupaya menghasilkan masyarakat yang seimbang seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN).  Bertitik tolak daripada FPN ini juga, adalah menjadi harapan bahawa individu yang terhasil dari sistem pendidikan negara ini nanti berupaya meneruskan warisan dan usaha masyarakat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.  Mereka juga diharap agar mampu bersaing mengikut peredaran zaman seperti bak kata pepatah 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' jika dibandingkari dengan masyarakat luar.

Sesuai dengan peredaran zaman, tugas dan tanggungjawab seorang guru juga semakin bertambah, kalau dulu tugas seorang guru hanya terhad kepada mengajar, mendidik dan membimbing sahaja, kini selain daripada tugas tersebut, para guru juga mempunyai peranan yang paling besar iaitu terlibat dalam mengawal keseimbangan moral pelajar-pelajar.  Mereka juga terlibat dalam mengawasi disiplin pelajar agar pelajar tidak leka dan hanyut dalam arus pemodenan dan pembangunan.  Guru pada hari ini juga turut berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar dan selain itu terpaksa melaksanakan tugasan lain yang sudah menjadi rutin pekerjaan mereka.  Contohnya para guru terpaksa membuat persediaan mengajar, menyemak kerja bertulis pelajar, membuat kerja-kerja klerikal, menaip soalan ujian dan peperiksaan, menyelia aktiviti kurikulum dan kokurikulum, menghadiri mesyuarat, kursus, seminar atau bengkel, menyelesaikan masalah disiplin pelajar, mengurus hal-ehwal kebajikan pelajar dan pelbagai lagi tugasan yang lain. Berdasarkan kepada pernyataan di atas, jelaslah kepada kita bahawa guru mempunyai tugas harian, mingguan dan tahunan yang penuh mencabar dan profesion perguruan ini sebenarnya adalah sukar dan meletihkan. 

Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan kerjaya guru dewasa ini.  Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan tugas guru sekarang tidak mewujudkan kerjaya guru yang menarik.  Malah tidak dapat dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan adakalanya tugas ini bukan sesuatu yang dirancang tetapi muncul secara situasi yang tidak diduga (Abdul Shukor, 1996).  Jika keadaan demikian dibiarkan berterusan sudah pasti suasana pengajaran dan pembeiajaran di sekolah kini akan menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan menghadapi kegagalan untuk mencapai matlamat yang diidamkan.  Individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan jika ia berada dalam keadaan tertekan.  Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan.  Hal-hal ini akan menghalang seseorang mewujudkan sifat positifnya, apalagi sifat kasih sayang.  Tanda-tanda stres seperti sikap berang, murung, mengambil keputusan atau memikirkan untuk berhenti atau bersara sebelum tempoh persaraan mereka akan muncul apabila seseorang mengalami perasaan tertekan.

Memandangkan isu-isu keguruan ataupun isu guru yang sering dipapar melalui surat akhbar, memang tidak dapat dinafikan ramai guru pada masa kini mengalami tekanan yang lebih serius jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang terdahulu.  Malahan mengajar itu sendiri disifatkan sebagai pekerjaan yang sering terdedah kepada tahap tekanan yang tinggi dan tekanan berhubung dengan kerja dilaporkan sebagai merangkumi lebih dari separuh daripada pelbagai tekanan yang dihadapi oleh guru.  Tambahan pula, guru sering melaporkan tahap tekanan yang mereka alami lebih tinggi jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka di dalam profesion yang lain.  Oleh kerana beban kerja yang banyak, telah menyebabkan sesetengah guru adakalanya kecewa dan bertindak di luar kawal secara spontan. 

Seterusnya saya akan membincangkan secara mendalam tentang isu guru yang mengenai gangguan tekanan emosi guru masa kini dengan seseuatu contoh daripada artikel Utusan Malaysia.  Isu dalam artikel Utusan Malaysia tersebut telah  melaporkan bahawa seorang warden asrama mengarahkan ramai pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan berendam di dalam kolam ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan.  Perbuatan di atas menunjukkan guru tersebut sedang mengalami gangguan tekanan emosi dan juga tidak bijak mengawal emosinya dan hal ini telah membawanya kepada berlakunya perkara di atas.

Punca-punca Stres
Masalah disiplin pelajar
Punca-punca tekanan emosi bermaksud sebab yang menjadi asas, asal mula, pokok pangkal terjadinya keadaan menekan. Antara faktor yang menjadi punca tekanan terhadap guru dalam isu di atas adalah masalah disiplin pelajar.  Saya amat bersetuju dengan punca yang dikatakan oleh Saporan Sipon dalam isu ini bahawa masalah disiplin sememangnya boleh menggugat emosi seseorang guru.  Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini berada pada paras yang agak serius walaupun kadangkala kenyataan ini telah ditolak olep pihak-pihak tertentu.  Guru kerapkali berhadapan dengan situasi sebegini dan adalah menyedihkan apabila maslah ini masih lagi belum mampu diselesaikan sepenuhnya.  Disiplin bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang berkuasa serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan.  Oleh kerana itu apabila terdapat kalangan pelajar yang menghadapi masalah disiplin, ini bermakna mereka tidak lagi mampu untuk mengawal diri apatah lagi patuh kepada peraturan dan pihak yang berkuasa lalu mereka sepatutnya dikenakan hukuman atas segala kesalahan yang mereka lakukan.  Perlanggaran disiplin oleh pelajar menunjukkan mereka sedang menghadapi sesuatu masalah dan mereka perlu melakukan sesuatu secara kekerasan untuk menenangkan kembali jiwa mereka.  Perkara ini dapat dibuktikan melalui Tattum (1986), apabila terdapat para pelajar yang sengaja melakukan perkara yang tidak baik (devian) sebagai satu bentuk menyemulajadikan semula interaksi mereka. Apa yang cuba diperkatakan oleh Tattum ialah hanya dengan melakukan kesalahan sahaja sebagai satu-satunya alternatif bagi membolehkan pelajar-pelajar ini melepaskan segala perasaan yang terpendam di jiwa. Antara perkara-perkara negatif yang dilakukan mereka termasuklah apa yang telah dilakukan oleh pelajar perempuan SMK Bawang Assan yang membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan, memaki-hamun orang lain termasuk guru mereka dengan kata-kata kesat, menghisap rokok ataupun dadah, membuli pelajar lain, bergaduh, terlibat dalam kongsi gelap dan sebagainya.  Perkara sebegini terjadi mungkin disebabkan oleh percampuran pelbagai jenis pelajar yang berbeza dari segi latar belakang di dalam sebuah sekolah yang sama, di mana ianya akan membawa kepada pertembungan pandangan, pemikiran dan gaya hidup yang ternyata berbeza.  Masalah akan mula timbul apabila pelajar-pelajar ini tidak mampu untuk berhubungan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah ataupun kelas lalu mereka mula hendak melepaskan diri.  Komunikasi yang tidak berkesan akan menimbulkan jurang yang besar di antara manusia.  Jurang ini seterusnya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri pelajar-pelajar ini, lalu mereka akan melakukan sesuatu untuk melampiaskan perasaan tersebut. Apabila guru berhadapan dengan pelajar yang bermasalah disiplin, maka mereka akan sentiasa terbayang-bayangkan sikap dan perlakuan pelajar-pelajar sebegini sampai guru tersebut berasa tertekan dengan keadaan tersebut dan bertindak dengan mengambil jalan mudah dalam menyelesaikan masalah ini sehingga kadangkala menimbulkan trauma pula kepada guru tersebut seperti apa yang telah berlaku oleh guru dalam isu mengarah pelajarnya berendam di dalam kolam ikan.
 Perubahan
Selari dengan faktor yang ditunjukkan dalam artikel perenggan ketujuh, perubahan dalam sistem pendidikan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan punca tekanan dalam kalangan guru.  Oleh kerana terdapat perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan, maka ini telah memberi kesukaran kepada sebahagian guru untuk menyesuaikan diri dengan perubahan hingga wujudnya tekanan dalam menjalankan tugas.  Tekanan yang dihadapi itu seterusnya akan memberi kesan kepada emosi, psikomatik dan fizikal guru.  Justeru itu, NUTP telah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi mengambil alih tugas sosial terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan oleh guru-guru sendiri (Utusan Malaysia, 21 Jun 2009).  Langkah yang diambil ini adalah bertujuan bagi memastikan guru-guru dapat memberi sepenuh komitmen kepada tugas-tugas mengajar.  Sehubungan itu, guru-guru tidak terbeban lagi dengan tugas-tugas luar seperti menguruskan hal-hal sosial pelajar yang merangkumi aktiviti ko-kurikulum, urusan dokumen pelajar dan aspek luar kelas.  Ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru.

Kepercayaan ibu bapa pelajar terhadap guru
Kurangnya keyakinan dan kepercayaan ibu bapa pelajar terhadap guru, harapan yang tinggi daripada ibu bapa pelajar dan berurusan dengan ibu bapa pelajar  merupakan satu lagi faktor yang menjadi punca yang mengakibatkan tekanan emosi guru terganggu.  Ibu bapa pelajar sememangnya meletakkan harapan yang tinggi pada guru-guru bagi memastikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka. Namun, adakalanya harapan ibu bapa terhadap pelajar adalah tidak realistik hingga menyebabkan guru-guru berada dalam keadaan stres.

Kekangan masa
kekangan masa turut menyebabkan guru stres. Dipercayai bahawa stres yang dialami oleh guru akan memberi impak negatif terhadap pelajar dan menyebabkan pengajaran menjadi kurang efektif.  Bukan itu sahaja, tugas perkeranian seperti mengambil kedatangan dan merekodkan gred pelajar telah menyukarkan guru mengimbangkan dengan tugas mengajar.  Seringkali guru mengalami stres berpunca dari tugasan luar dari pengajaran, penyediaan kertas kerja, menghadiri pelbagai mesyuarat dan tugas berkaitan pengurusan bilik darjah.  Namun, tidak dapat dinafikan tugas utama guru yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab utama adalah menyediakan rancangan mengajar, mengajar, menyediakan aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan menanda buku.

Hubungan interpersonal
Seseorang guru yang mempunyai hubungan interpersonal yang tidak baik turut akan mengakibatkan guru tersebut mengalami tekanan emosi semasa berkerja.  Faktor hubungan interpersonal ini kerap berlaku di antara guru-guru biasa dengan pihak pentadbir sekolah seperti ketua-ketua panitia mata pelajaran, ketua-ketua bidang mata pelajaran, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran malah dengan Pengetua sekolah. Hubungan yang kurang baik di antara guru biasa juga berlaku.  Wujudnya jurang komunikasi di antara guru lama dengan guru baru dan kurangnya rasa hormat menghormati di kalangan guru ketika menjalankan tugas. Terdapat juga sebilangan guru yang suka mencampuradukkan urusan peribadi dengan tugas di sekolah yang boleh menjejaskan hubungan di kalangan guru-guru.

Faktor Penghargaan
Biasanya pihak pentadbir akan hanya menghargai guru-guru yang prestasi akademiknya meningkat dalam peperiksaan utama. Kemungkinan guru-guru berasa tertekan dan kecewa apabila hasil pengorbanan mereka kurang dihargai oleh pihak pentadbir.  Bagi guru-guru lain, mungkin mereka telah mengajar dengan baik tetapi faktor pelajar dan faktor-faktor lain telah menyebabkan mutu mata pelajaran yang guru itu mengajar merosot.  Maka perkara ini perlulah diambil kira juga oleh pihak pentadbir. Sebenarnya guru-guru tidak mengharapkan sangat pemberian hadiah atau anugerah khidmat cemerlang, namun ucapan terima kasih dan tahniah sudah cukup memadai sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka. Di samping itu, penghargaan oleh pihak pentadbir terhadap staf bawahannya akan dapat menaikkan motivasi dan semangat guru-guru serta secara langsung dapat mengurangkan tekanan kepada mereka.  Faktor kekurangan penghargaan ke atas kerja yang dilakukan oleh guru boleh mempengaruhi tekanan kerja guru.

Kekangan kekurangan sumber
Kekurangan sumber seperti kekurangan bilik darjah, kekurangan makmal komputer, komputer dan perisiannya merupakan faktor penting kepada guru-guru yang memerlukan peralatan tersebut untuk pengajaran. Tambahan pula mata pelajaran yang diajarnya itu memang berkaitan dengan alat-alat tersebut. Sekiranya kekurangan sumber ini berlaku, ianya akan menyebabkan guru-guru menjadi kurang bersemangat dan tertekan kerana ia boleh menjejaskan kualiti pengajarannya.

Cara Menangani Masalah Tekanan Emosi
Jika tekanan emosi tidak diselesaikan dengan memuaskan, ia boleh menggugat kesejahteraan seseorang guru.  Misalnya boleh menyebabkan guru merasa dan memohon untuk meletak jawatan atau memohon untuk bersara awal seperti apa yang dikemukakan dalam artikel. Terdapat banyak cara penyelesaian untuk menangani stres ataupun tekanan emosi di kalangan guru.  Antaranya adalah cara yang dikemukakan dalam artikel iaitu kaedah berdaya tindak dan mempunyai sokongan sosial yang selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran sekarang iaitu mendidik guru-guru baru agar dapat mengawal emosi mereka supaya kejadian mendera pelajar dapat dielakkan. 

Selain daripada cara penyelesaian tekanan yang dicadangkan di atas, cara menolak tanggungjawab tambahan juga merupakan salah satu cara penyelesaian masalah.  Terdapat beberapa jenis stres yang boleh disingkirkan oleh guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya.  Seorang guru perlu belajar cara untuk mengatakan “tidak” atau “tidak mahu” sama ada dalam kehidupan peribadi atau profesional.  Guru boleh menolak tanggungjawab tambahan jika guru berkenaan tidak dapat menghadapinya atau tidak berkemampuan melaksanakannya kerana menanggung sesuatu tugas tambahan yang tidak terdaya akan menyebabkan stres.

Sehubungan itu, elakkan orang yang menyebabkan stres juga merupakan salah satu cara menangani stres yang baik.  Seseorang guru boleh cuba untuk mengelakkan individu yang boleh menyebabkan stres kepadanya.  Guru boleh mengurangkan masa berhubungan dengan individu yang menyebabkannya menghadapi stres.  Sebaliknya, tambah dan kuatkan hubungan atau jaringan dengan rakan-rakan sekerja atau rakan lain untuk menlindungi guru daripada stres.

Apabila dalam stres, guru boleh berkongsi pandangan dan luahan dengan rakan atau ahli keluarga yang boleh dipercayai.  Jika punca stres guru disebabkan oleh hubungan sosial dengan rakan sekerja, maka keutaam guru adalah membina perkaitan yang kukuh dan hubungan yang boleh memuaskan hati guru.  Antara cara membantu menenangkan stres adalah mengadakan perjumpaan dengan rakan semasa makan tengah hari atau makan malam, menghantar e-mel kepada rakan, membantu rakan secara sukarela dan sebagainya. 

Di samping itu, guru juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam kumpulan perbincangan dan atau forum.  Terdapat banyak forum guru di laman web di mana guru bukan sahaja boleh meluahkan perasaan atau kekecewaan tetapi mendapatkan nasihat daripada guru berpengalaman yang mengalami masalah-masalah yang sama. 

Salah satu cara lagi demi mengurus stres adalah dengan mengawal cara seseorang memberikan respons terhadap stres yang dihadapi ataupun mengubah perspektif beliau terhadap stres.  Menguruskan stres bermaksud seseorang bertindak atas diri dari segi mengambil alih pemikiran, emosi, jadual, persekitaran dan cara menghadapi sesuatu masalah.  Pengurusan stres melibatkan perubahan terhadap situasi stres yang dihadapi, mengambil masa untuk berehat dan menenangkan diri.

Sebagai guru, penulisan jurnal juga boleh membantu kita untuk mengenalpasti punca stres dan cara menanganinya.  Contohnya, dalam jurnal tersebut catatkan punca stres yang dihadapi, bagaimana anda rasa secara fizikal dan emosi dan bagaimana kita bertindak balas terhadap respons dan perkara yang boleh menenangkan kita.  Maka jurnal tersebut boleh menjadi bahan rujukan pada masa akan datang jikalau kita menghadapi masalah yang sama. 

Mengikut Waxler(2009), guru seharusnya berfikir secara positif dan satu cara terbaik adalah menyebutkan pemikiran-pemikiran yang positif setiap hari.  Contohnya, setiap hari guru perlu menyatakan kata-kata positif tentang tugasnya, pelajarnya dan rakan sekerjanya.  Seseorang guru akan berasa kagum tentang impaknya kepadanya sepanjang hari bertugas.

Selain itu, cara penyelesaian yang lain yang boleh diambil oleh kita sebagai seorang guru apabila menghadapi stres adalah menguruskan tugas dengan sistematik supaya tidak terlalu terbeban.  Jangan cuba mencapai terlalu banyak tugas dalam masa yang singkat.  Oleh sebab guru berhasrat mencapat terlalu banyak tugas dalam sehari maka situasi tersebut akan menyebabkan mutu kerja merosot.  Kesannya ialah hasil yang dicapai merupakan satu tekanan kepada guru.  Maka, guru perlu mengutamakan tugas-tugas yang penting dan rancang apa yang boleh dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Penutup
Kesimpulannya, tekanan emosi sememangnya berlaku dalam profesion perguruan kerana profesion perguruan merupakan salah satu profesion yang sering berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain perlu menunaikan tugas harian atau tugas utama mereka di dalam bilik darjah.  Dalam proses melaksanakan tugas dan tanggungjawab, guru pasti akan menemukan halangan, kesuntukan masa dan perselisihan faham antara guru.  Jadi sebagai seorang pendidik, kita bukan sahaja perlu bersiap sedia dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental.  Hal ini adalah kerana dalam abad kini yang ditempuhi pelbagai cabaran dan perubahan, jika seseorang guru tidak dapat mengadaptasi perubahan, menyelesaikan masalah atau menangani cabaran yang dihadapi, mereka pasti akan mengalami tekanan emosi.   Jadi, guru perlu kenal pasti diri sendiri dan bijak untuk memilih langkah terbaik agar dapat menangani tekanan emosi dengan berkesan. 

Artikel Dari Laman Web Rasmi: