Sunday 2 September 2012

Isu Guru—Pendidik mesti bijak kawal emosi

Nama: Geraldine Sia Sing Ee


Isu Guru—Pendidik mesti bijak kawal emosi 

Tekanan boleh berlaku kepada sesiapapun tanpa mengira masa dan di mana-mana sahaja hatta di bandar mahupun di desa. Namun jika dilihat, tekanan sebenarnya lebih banyak berlaku di kawasan perbandaran terutamanya bandar-bandar besar  yang secara kebiasaannya melibatkan penduduk-penduduk yang bekerja, belajar mahupun yang menetap di kawasan tersebut.  Walaupun penduduk yang mendiami kawasan perkampungan ataupun desa sekalipun tidak dapat lari daripada tekanan, tetapi punca dan kesan tekanan di kampung tidaklah sehebat seperti mana mereka yang menetap di kawasan bandar.  Perkara ini dapat dibuktikan oleh laporan akhbar (Utusan Malaysia, 2007), di mana tekanan hidup di bandar merupakan punca utama yang menyumbang kepada penyakit mental. Perkara ini boleh difahami kerana persekitaran kehidupan di bandar yang serba-serbinya sukar seperti kos hidup yang terlampau tinggi, kesukaran mendapat pekerjaan, kesesakan jalanraya, kadar jenayah yang tinggi, kepadatan penduduk yang tinggi, kawasan penempatan yang terhad, pencemaran alam, tahap hubungan ataupun komunikasi di dalam masyarakat yang rendah, masalah sosial yang kronik dan sebagainya.

Kamus Dewan(1999) mendefinisikan tekanan sebagai satu desakan atau paksaan yang diterima oleh seseorang.  Ini bermaksud tekanan adalah suatu keadaan di mana kekuatan fizikal, mental dan emosi seseorang individu teruji melampau keupayaan tubuh dan mindanya yang tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi.  Hans Selye (1963), telah memberikan maksud yang baru mengenai tekanan dengan membuktikan di dalam kajiannya terhadap binatang.  Beliau menunjukkan bahawa tekanan boleh menyebabkan penyakit, seterusnya penyakit yang dihidapi akibat daripada tekanan yang berlebihan boleh membawa maut. Situasi yang sama boleh berlaku ke atas manusia.  Schafer (1992) pula mendefinisikan tekanan sebagai kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbals kepada permintaan terhadap dirinya.  Fontana (1989) juga memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan seseorang itu dapat menangani permintaan itu, maka tekanan itu akan mendatangkan kesan yang positif.  Sebenarnya tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan setiap insan, setiap gologan masyarakat tidak mengira usia akan berisiko untuk mengalami tekanan, cuma yang membezakannya adalah mengetahui kehadirannya atau tidak dan cara mengendalikan tekanan di dalam kehidupan seharian seseorang itu.  Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Institut Of Stress di New York, Amerika, didapati bahawa 90 peratus daripada lelaki dewasa mengalami stres yang amat tinggi sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus mengalami stres setiap hari.  Perangkaan ini menunjukkan bahawa stres dalam kehidupan seseorang individu yang semakin menjadi trend semasa.

Profesion perguruan merupakan satu profesion yang amat penting dalam masyarakat.  Profesion ini juga merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sangat mencabar.  Ini kerana guru dianggap pemberi kesan yang besar terhadap perkembangan kognitif (mental), afektif (sikap), kebolehan serta kemahiran fizikal dan sosial para pelajarnya.  Oleh yang demikian, seseorang individu yang berhasrat untuk menjadi guru hendaklah bersedia dari segi mental dan fizikal serta terdiri dari mereka yang terbaik dalam masyarakat.  Selain itu, individu tersebut juga hendaklah berusaha menjadi seorang pendidik dan pembimbing kepada para pelajarnya supaya mereka berupaya menghasilkan masyarakat yang seimbang seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN).  Bertitik tolak daripada FPN ini juga, adalah menjadi harapan bahawa individu yang terhasil dari sistem pendidikan negara ini nanti berupaya meneruskan warisan dan usaha masyarakat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.  Mereka juga diharap agar mampu bersaing mengikut peredaran zaman seperti bak kata pepatah 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' jika dibandingkari dengan masyarakat luar.

Sesuai dengan peredaran zaman, tugas dan tanggungjawab seorang guru juga semakin bertambah, kalau dulu tugas seorang guru hanya terhad kepada mengajar, mendidik dan membimbing sahaja, kini selain daripada tugas tersebut, para guru juga mempunyai peranan yang paling besar iaitu terlibat dalam mengawal keseimbangan moral pelajar-pelajar.  Mereka juga terlibat dalam mengawasi disiplin pelajar agar pelajar tidak leka dan hanyut dalam arus pemodenan dan pembangunan.  Guru pada hari ini juga turut berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar dan selain itu terpaksa melaksanakan tugasan lain yang sudah menjadi rutin pekerjaan mereka.  Contohnya para guru terpaksa membuat persediaan mengajar, menyemak kerja bertulis pelajar, membuat kerja-kerja klerikal, menaip soalan ujian dan peperiksaan, menyelia aktiviti kurikulum dan kokurikulum, menghadiri mesyuarat, kursus, seminar atau bengkel, menyelesaikan masalah disiplin pelajar, mengurus hal-ehwal kebajikan pelajar dan pelbagai lagi tugasan yang lain. Berdasarkan kepada pernyataan di atas, jelaslah kepada kita bahawa guru mempunyai tugas harian, mingguan dan tahunan yang penuh mencabar dan profesion perguruan ini sebenarnya adalah sukar dan meletihkan. 

Terdapat pelbagai tanggapan dan dakwaan berhubung dengan kerjaya guru dewasa ini.  Sesetengah ahli masyarakat mempunyai tanggapan bahawa kerja, beban dan tugas guru sekarang tidak mewujudkan kerjaya guru yang menarik.  Malah tidak dapat dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan adakalanya tugas ini bukan sesuatu yang dirancang tetapi muncul secara situasi yang tidak diduga (Abdul Shukor, 1996).  Jika keadaan demikian dibiarkan berterusan sudah pasti suasana pengajaran dan pembeiajaran di sekolah kini akan menuju ke arah satu keadaan yang tidak terurus dan menghadapi kegagalan untuk mencapai matlamat yang diidamkan.  Individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan jika ia berada dalam keadaan tertekan.  Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan.  Hal-hal ini akan menghalang seseorang mewujudkan sifat positifnya, apalagi sifat kasih sayang.  Tanda-tanda stres seperti sikap berang, murung, mengambil keputusan atau memikirkan untuk berhenti atau bersara sebelum tempoh persaraan mereka akan muncul apabila seseorang mengalami perasaan tertekan.

Memandangkan isu-isu keguruan ataupun isu guru yang sering dipapar melalui surat akhbar, memang tidak dapat dinafikan ramai guru pada masa kini mengalami tekanan yang lebih serius jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang terdahulu.  Malahan mengajar itu sendiri disifatkan sebagai pekerjaan yang sering terdedah kepada tahap tekanan yang tinggi dan tekanan berhubung dengan kerja dilaporkan sebagai merangkumi lebih dari separuh daripada pelbagai tekanan yang dihadapi oleh guru.  Tambahan pula, guru sering melaporkan tahap tekanan yang mereka alami lebih tinggi jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka di dalam profesion yang lain.  Oleh kerana beban kerja yang banyak, telah menyebabkan sesetengah guru adakalanya kecewa dan bertindak di luar kawal secara spontan. 

Seterusnya saya akan membincangkan secara mendalam tentang isu guru yang mengenai gangguan tekanan emosi guru masa kini dengan seseuatu contoh daripada artikel Utusan Malaysia.  Isu dalam artikel Utusan Malaysia tersebut telah  melaporkan bahawa seorang warden asrama mengarahkan ramai pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan berendam di dalam kolam ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan.  Perbuatan di atas menunjukkan guru tersebut sedang mengalami gangguan tekanan emosi dan juga tidak bijak mengawal emosinya dan hal ini telah membawanya kepada berlakunya perkara di atas.

Punca-punca Stres
Masalah disiplin pelajar
Punca-punca tekanan emosi bermaksud sebab yang menjadi asas, asal mula, pokok pangkal terjadinya keadaan menekan. Antara faktor yang menjadi punca tekanan terhadap guru dalam isu di atas adalah masalah disiplin pelajar.  Saya amat bersetuju dengan punca yang dikatakan oleh Saporan Sipon dalam isu ini bahawa masalah disiplin sememangnya boleh menggugat emosi seseorang guru.  Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini berada pada paras yang agak serius walaupun kadangkala kenyataan ini telah ditolak olep pihak-pihak tertentu.  Guru kerapkali berhadapan dengan situasi sebegini dan adalah menyedihkan apabila maslah ini masih lagi belum mampu diselesaikan sepenuhnya.  Disiplin bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang berkuasa serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan.  Oleh kerana itu apabila terdapat kalangan pelajar yang menghadapi masalah disiplin, ini bermakna mereka tidak lagi mampu untuk mengawal diri apatah lagi patuh kepada peraturan dan pihak yang berkuasa lalu mereka sepatutnya dikenakan hukuman atas segala kesalahan yang mereka lakukan.  Perlanggaran disiplin oleh pelajar menunjukkan mereka sedang menghadapi sesuatu masalah dan mereka perlu melakukan sesuatu secara kekerasan untuk menenangkan kembali jiwa mereka.  Perkara ini dapat dibuktikan melalui Tattum (1986), apabila terdapat para pelajar yang sengaja melakukan perkara yang tidak baik (devian) sebagai satu bentuk menyemulajadikan semula interaksi mereka. Apa yang cuba diperkatakan oleh Tattum ialah hanya dengan melakukan kesalahan sahaja sebagai satu-satunya alternatif bagi membolehkan pelajar-pelajar ini melepaskan segala perasaan yang terpendam di jiwa. Antara perkara-perkara negatif yang dilakukan mereka termasuklah apa yang telah dilakukan oleh pelajar perempuan SMK Bawang Assan yang membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan, memaki-hamun orang lain termasuk guru mereka dengan kata-kata kesat, menghisap rokok ataupun dadah, membuli pelajar lain, bergaduh, terlibat dalam kongsi gelap dan sebagainya.  Perkara sebegini terjadi mungkin disebabkan oleh percampuran pelbagai jenis pelajar yang berbeza dari segi latar belakang di dalam sebuah sekolah yang sama, di mana ianya akan membawa kepada pertembungan pandangan, pemikiran dan gaya hidup yang ternyata berbeza.  Masalah akan mula timbul apabila pelajar-pelajar ini tidak mampu untuk berhubungan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah ataupun kelas lalu mereka mula hendak melepaskan diri.  Komunikasi yang tidak berkesan akan menimbulkan jurang yang besar di antara manusia.  Jurang ini seterusnya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri pelajar-pelajar ini, lalu mereka akan melakukan sesuatu untuk melampiaskan perasaan tersebut. Apabila guru berhadapan dengan pelajar yang bermasalah disiplin, maka mereka akan sentiasa terbayang-bayangkan sikap dan perlakuan pelajar-pelajar sebegini sampai guru tersebut berasa tertekan dengan keadaan tersebut dan bertindak dengan mengambil jalan mudah dalam menyelesaikan masalah ini sehingga kadangkala menimbulkan trauma pula kepada guru tersebut seperti apa yang telah berlaku oleh guru dalam isu mengarah pelajarnya berendam di dalam kolam ikan.
 Perubahan
Selari dengan faktor yang ditunjukkan dalam artikel perenggan ketujuh, perubahan dalam sistem pendidikan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan punca tekanan dalam kalangan guru.  Oleh kerana terdapat perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan, maka ini telah memberi kesukaran kepada sebahagian guru untuk menyesuaikan diri dengan perubahan hingga wujudnya tekanan dalam menjalankan tugas.  Tekanan yang dihadapi itu seterusnya akan memberi kesan kepada emosi, psikomatik dan fizikal guru.  Justeru itu, NUTP telah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi mengambil alih tugas sosial terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan oleh guru-guru sendiri (Utusan Malaysia, 21 Jun 2009).  Langkah yang diambil ini adalah bertujuan bagi memastikan guru-guru dapat memberi sepenuh komitmen kepada tugas-tugas mengajar.  Sehubungan itu, guru-guru tidak terbeban lagi dengan tugas-tugas luar seperti menguruskan hal-hal sosial pelajar yang merangkumi aktiviti ko-kurikulum, urusan dokumen pelajar dan aspek luar kelas.  Ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti pengajaran guru.

Kepercayaan ibu bapa pelajar terhadap guru
Kurangnya keyakinan dan kepercayaan ibu bapa pelajar terhadap guru, harapan yang tinggi daripada ibu bapa pelajar dan berurusan dengan ibu bapa pelajar  merupakan satu lagi faktor yang menjadi punca yang mengakibatkan tekanan emosi guru terganggu.  Ibu bapa pelajar sememangnya meletakkan harapan yang tinggi pada guru-guru bagi memastikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka. Namun, adakalanya harapan ibu bapa terhadap pelajar adalah tidak realistik hingga menyebabkan guru-guru berada dalam keadaan stres.

Kekangan masa
kekangan masa turut menyebabkan guru stres. Dipercayai bahawa stres yang dialami oleh guru akan memberi impak negatif terhadap pelajar dan menyebabkan pengajaran menjadi kurang efektif.  Bukan itu sahaja, tugas perkeranian seperti mengambil kedatangan dan merekodkan gred pelajar telah menyukarkan guru mengimbangkan dengan tugas mengajar.  Seringkali guru mengalami stres berpunca dari tugasan luar dari pengajaran, penyediaan kertas kerja, menghadiri pelbagai mesyuarat dan tugas berkaitan pengurusan bilik darjah.  Namun, tidak dapat dinafikan tugas utama guru yang perlu dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab utama adalah menyediakan rancangan mengajar, mengajar, menyediakan aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran dan menanda buku.

Hubungan interpersonal
Seseorang guru yang mempunyai hubungan interpersonal yang tidak baik turut akan mengakibatkan guru tersebut mengalami tekanan emosi semasa berkerja.  Faktor hubungan interpersonal ini kerap berlaku di antara guru-guru biasa dengan pihak pentadbir sekolah seperti ketua-ketua panitia mata pelajaran, ketua-ketua bidang mata pelajaran, Penolong Kanan Kokurikulum, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran malah dengan Pengetua sekolah. Hubungan yang kurang baik di antara guru biasa juga berlaku.  Wujudnya jurang komunikasi di antara guru lama dengan guru baru dan kurangnya rasa hormat menghormati di kalangan guru ketika menjalankan tugas. Terdapat juga sebilangan guru yang suka mencampuradukkan urusan peribadi dengan tugas di sekolah yang boleh menjejaskan hubungan di kalangan guru-guru.

Faktor Penghargaan
Biasanya pihak pentadbir akan hanya menghargai guru-guru yang prestasi akademiknya meningkat dalam peperiksaan utama. Kemungkinan guru-guru berasa tertekan dan kecewa apabila hasil pengorbanan mereka kurang dihargai oleh pihak pentadbir.  Bagi guru-guru lain, mungkin mereka telah mengajar dengan baik tetapi faktor pelajar dan faktor-faktor lain telah menyebabkan mutu mata pelajaran yang guru itu mengajar merosot.  Maka perkara ini perlulah diambil kira juga oleh pihak pentadbir. Sebenarnya guru-guru tidak mengharapkan sangat pemberian hadiah atau anugerah khidmat cemerlang, namun ucapan terima kasih dan tahniah sudah cukup memadai sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka. Di samping itu, penghargaan oleh pihak pentadbir terhadap staf bawahannya akan dapat menaikkan motivasi dan semangat guru-guru serta secara langsung dapat mengurangkan tekanan kepada mereka.  Faktor kekurangan penghargaan ke atas kerja yang dilakukan oleh guru boleh mempengaruhi tekanan kerja guru.

Kekangan kekurangan sumber
Kekurangan sumber seperti kekurangan bilik darjah, kekurangan makmal komputer, komputer dan perisiannya merupakan faktor penting kepada guru-guru yang memerlukan peralatan tersebut untuk pengajaran. Tambahan pula mata pelajaran yang diajarnya itu memang berkaitan dengan alat-alat tersebut. Sekiranya kekurangan sumber ini berlaku, ianya akan menyebabkan guru-guru menjadi kurang bersemangat dan tertekan kerana ia boleh menjejaskan kualiti pengajarannya.

Cara Menangani Masalah Tekanan Emosi
Jika tekanan emosi tidak diselesaikan dengan memuaskan, ia boleh menggugat kesejahteraan seseorang guru.  Misalnya boleh menyebabkan guru merasa dan memohon untuk meletak jawatan atau memohon untuk bersara awal seperti apa yang dikemukakan dalam artikel. Terdapat banyak cara penyelesaian untuk menangani stres ataupun tekanan emosi di kalangan guru.  Antaranya adalah cara yang dikemukakan dalam artikel iaitu kaedah berdaya tindak dan mempunyai sokongan sosial yang selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran sekarang iaitu mendidik guru-guru baru agar dapat mengawal emosi mereka supaya kejadian mendera pelajar dapat dielakkan. 

Selain daripada cara penyelesaian tekanan yang dicadangkan di atas, cara menolak tanggungjawab tambahan juga merupakan salah satu cara penyelesaian masalah.  Terdapat beberapa jenis stres yang boleh disingkirkan oleh guru dalam melaksanakan tanggungjawabnya.  Seorang guru perlu belajar cara untuk mengatakan “tidak” atau “tidak mahu” sama ada dalam kehidupan peribadi atau profesional.  Guru boleh menolak tanggungjawab tambahan jika guru berkenaan tidak dapat menghadapinya atau tidak berkemampuan melaksanakannya kerana menanggung sesuatu tugas tambahan yang tidak terdaya akan menyebabkan stres.

Sehubungan itu, elakkan orang yang menyebabkan stres juga merupakan salah satu cara menangani stres yang baik.  Seseorang guru boleh cuba untuk mengelakkan individu yang boleh menyebabkan stres kepadanya.  Guru boleh mengurangkan masa berhubungan dengan individu yang menyebabkannya menghadapi stres.  Sebaliknya, tambah dan kuatkan hubungan atau jaringan dengan rakan-rakan sekerja atau rakan lain untuk menlindungi guru daripada stres.

Apabila dalam stres, guru boleh berkongsi pandangan dan luahan dengan rakan atau ahli keluarga yang boleh dipercayai.  Jika punca stres guru disebabkan oleh hubungan sosial dengan rakan sekerja, maka keutaam guru adalah membina perkaitan yang kukuh dan hubungan yang boleh memuaskan hati guru.  Antara cara membantu menenangkan stres adalah mengadakan perjumpaan dengan rakan semasa makan tengah hari atau makan malam, menghantar e-mel kepada rakan, membantu rakan secara sukarela dan sebagainya. 

Di samping itu, guru juga digalakkan untuk melibatkan diri dalam kumpulan perbincangan dan atau forum.  Terdapat banyak forum guru di laman web di mana guru bukan sahaja boleh meluahkan perasaan atau kekecewaan tetapi mendapatkan nasihat daripada guru berpengalaman yang mengalami masalah-masalah yang sama. 

Salah satu cara lagi demi mengurus stres adalah dengan mengawal cara seseorang memberikan respons terhadap stres yang dihadapi ataupun mengubah perspektif beliau terhadap stres.  Menguruskan stres bermaksud seseorang bertindak atas diri dari segi mengambil alih pemikiran, emosi, jadual, persekitaran dan cara menghadapi sesuatu masalah.  Pengurusan stres melibatkan perubahan terhadap situasi stres yang dihadapi, mengambil masa untuk berehat dan menenangkan diri.

Sebagai guru, penulisan jurnal juga boleh membantu kita untuk mengenalpasti punca stres dan cara menanganinya.  Contohnya, dalam jurnal tersebut catatkan punca stres yang dihadapi, bagaimana anda rasa secara fizikal dan emosi dan bagaimana kita bertindak balas terhadap respons dan perkara yang boleh menenangkan kita.  Maka jurnal tersebut boleh menjadi bahan rujukan pada masa akan datang jikalau kita menghadapi masalah yang sama. 

Mengikut Waxler(2009), guru seharusnya berfikir secara positif dan satu cara terbaik adalah menyebutkan pemikiran-pemikiran yang positif setiap hari.  Contohnya, setiap hari guru perlu menyatakan kata-kata positif tentang tugasnya, pelajarnya dan rakan sekerjanya.  Seseorang guru akan berasa kagum tentang impaknya kepadanya sepanjang hari bertugas.

Selain itu, cara penyelesaian yang lain yang boleh diambil oleh kita sebagai seorang guru apabila menghadapi stres adalah menguruskan tugas dengan sistematik supaya tidak terlalu terbeban.  Jangan cuba mencapai terlalu banyak tugas dalam masa yang singkat.  Oleh sebab guru berhasrat mencapat terlalu banyak tugas dalam sehari maka situasi tersebut akan menyebabkan mutu kerja merosot.  Kesannya ialah hasil yang dicapai merupakan satu tekanan kepada guru.  Maka, guru perlu mengutamakan tugas-tugas yang penting dan rancang apa yang boleh dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Penutup
Kesimpulannya, tekanan emosi sememangnya berlaku dalam profesion perguruan kerana profesion perguruan merupakan salah satu profesion yang sering berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain perlu menunaikan tugas harian atau tugas utama mereka di dalam bilik darjah.  Dalam proses melaksanakan tugas dan tanggungjawab, guru pasti akan menemukan halangan, kesuntukan masa dan perselisihan faham antara guru.  Jadi sebagai seorang pendidik, kita bukan sahaja perlu bersiap sedia dari segi fizikal tetapi juga dari segi mental.  Hal ini adalah kerana dalam abad kini yang ditempuhi pelbagai cabaran dan perubahan, jika seseorang guru tidak dapat mengadaptasi perubahan, menyelesaikan masalah atau menangani cabaran yang dihadapi, mereka pasti akan mengalami tekanan emosi.   Jadi, guru perlu kenal pasti diri sendiri dan bijak untuk memilih langkah terbaik agar dapat menangani tekanan emosi dengan berkesan. 

Artikel Dari Laman Web Rasmi:

No comments:

Post a Comment