Nama : Tan Ying Guan
Pada era globalisasi ini, terdapat
pelbagai perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek telah berlaku di
sekeliling kita sama ada kita sedar atau tidak. Perkembangan dan pembangunan
yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya
golongan professional. Antara bidang professional yang terlibat adalah
keguruan, perubatan,kejuruteraan, perundangan dan lain-lain lagi.
Apa yang
dimaksudkan dengan professional? Menurut Ornstein dan Levine ( 1993 ), konsep professional
merujuk kepada ciri-ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion.
Antara ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan
yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal
tingkah laku ahli. Jadi, guru merupakan seseorang yang professional. Ini juga bermakna
guru adalah segolongan yang telah mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan
luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta mempunyai kod etika yang
tersendiri.
Namun, terdapat pelbagai isu yang timbul
dan melanggar etika profesion perguruan. Merujuk kepada ciri-ciri yang
dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana terdapat
segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia
termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru
tersiar di internet ataupun dada-dada akhbar. Ini sudah tentu akan menganggu
gugat martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia dan suci.
Di sini, saya memilih untuk membincangkan “Masalah
Penyalahgunaan Masa” sebagai isu yang melanggar etika profesion perguruan
kerana masalah ini kerap terjadi di kalangan guru. Di Malaysia, waktu bagi satu
sesi persekolahan yang umum adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 1.15, iaitu
lebih kurang enam jam tidak termasuk aktiviti kokurikulum pada sebelah petang.
Sepanjang tempoh ini, murid-murid dan guru terlibat secara langsung dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun, sejak kebelakangan ini
timbul isu penyalahgunaan masa di kalangan guru di sekolah. Memang benar isu
penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya lebih menjurus
kepada hal ehwal dalaman sekolah, tetapi adalah penting bagi kita untuk
membendung isu ini daripada terus menular.
Antara contoh penyalahgunaan masa di
sekolah adalah guru tidak menepati masa memasuki kelas, guru tidak menyampaikan
isi pengajaran dengan bersungguh-sungguh, guru mengajar tidak mengikut sukatan
pelajaran yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru tidak menepati masa
keluar daripada kelas, guru menggunakan masa di sekolah dengan melakukan kerja
yang tidak berkaitan dengan pendidikan misalnya melayari facebook, ber”chatting”,
bergosip, melepak di kantin, guru melakukan kerja sambilan di malam hari (
misalnya mengajar tuisyen, berniaga di pasar malam, mengajar “dance”, membuat
persembahan tarian) hingga menjejaskan produktivitinya dalam menyampaikan
P&P di siang hari dan banyak lagi. Walaupun saya tidak menjalankan kajian
penyelidikan tentang masalah ini tetapi melalui pengamatan saya, adalah wajar
masalah ini diberi perhatian. Masalah penyalahgunaan masa mugkin tidak
terlalu serius tetapi jika dibiarkan berlanjutan, masalah ini dapat menjejaskan
kredibiliti para guru dan merugikan murid. Ramai guru masih tidak menyedari
hakikat ini. Jadi, saya berharap agar saya dapat menangani isu ini dalam diri
saya agar tugas saya sebagai bakal guru boleh menyumbang satu kebaikan kepada
murid-murid saya.
Sebelum saya menyentuh isu
penyalahgunaan masa di kalangan guru dalam tempoh bertugas, saya ingin merujuk
kepada peraturan-peraturan yang perlu di patuhi guru ketika berada
dalam perkhidmatan. Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang
bertarikh 12 September 1981, semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan
sekolah dan para pelajar dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima
minit sebelum sekolah bermula. Surat ini juga memberi penekanan terhadap
tanggungjawab guru untuk mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di
sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah
untuk mengajar dan semasa menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah
seperti kegiatan kokurikulum. Maksud ketepatan masa juga merangkumi keperluan
guru untuk mengikut jadual pengajaran dan tidak dibenarkan meninggalkan kelas
ataupun kawasan sekolah semasa tempoh persekolahan.
Di samping itu, terdapat beberapa
perkara yang perlu diambil perhatian oleh guru berkaitan pematuhan waktu dan
masa. Semua guru dikehendaki menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba
di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai dan menurunkan tandatangan.
Pada zaman yang teknologi kini, ada sekolah yang menggunakan ‘punch card’ atau
menggunakan perisian komputer yang menggunakan pengesanan corak ibu jari
sebagai bukti kehadiran. Guru Besar pula diberi kuasa mengizinkan guru
meninggalkan kawasan sekolah sekiranya ada hal-hal tertentu dan mereka perlu
mengisi buku catatan meninggalkan sekolah. Begitu juga jika terdapat hal yang
memerlukan guru meninggalkan bilik darjah, kegiatan dan upacara rasmi sekolah
dan aktiviti kokurikulum, guru perlu mendapat kebenaran dari Guru Besar.
Selain itu, pada masa senggang
iaitu ketika guru tidak menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas, guru perlu melaksanakan beberapa perkara seperti memeriksa buku
latihan dan kerja rumah murid dengan teliti, menulis buku ringkasan mengajar,
menyediakan alatan dan bahan bantu mengajar, menguruskan hal ehwal kelas,
menguruskan yuran murid, hal-hal kokurikulum dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dilakukan oleh guru pada waktu ini mestilah aktiviti yang memberikan
faedah kepada murid-murid. Selain itu, guru juga diberi tanggungjawab untuk
menggantikan guru lain untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Di bawah ini,
saya akan menyatakan perkara yang membawa kepada penyalahgunaan masa yang
sering dilakukan oleh guru sama ada secara disedari atau tidak disedari. Yang paling utama adalah guru lewat masuk ke
dalam kelas. Guru yang mematuhi ketetapan masa tidak menunggu loceng berbunyi
untuk berjalan dari sesuatu tempat untuk ke kelas mereka. Mereka akan bergerak
awal ke kelas dan kadangkala sanggup pula menunggu waktu guru lain habis di
luar kelas. Sekiranya waktu pengajaran adalah berturutan, guru ini tergesa-gesa
pergi bergerak dari satu kelas ke kelas berikutnya dengan penuh semangat. Maka,
fenomena guru yang lewat masuk ke kelas akan menimbulkan isu penyalahgunaan
masa. Bukan itu sahaja, sekiranya berlaku sebarang kemalangan di dalam kelas,
guru tersebut harus dipersalahkan. ‘Mencuri masa’ adalah perbuatan yang tidak
wajar bagi seorang guru.
Menurut laporan
artikel yang saya membaca, guru yang suka lewat masuk kelas biasanya akan
memberikan pelbagai alasan seperti terlupa jadual waktu atau tidak ingat. Ada di kalangan guru yang memberikan alasan
terlalu banyak kerja yang perlu dibereskan. Malahan kadangkala memberikan
alasan kononnya dipanggil guru besar atau pengetua. Awal-awal
tahun, ada guru buat-buat sibuk menyiapkan pelbagai borang dan data sehingga
meninggalkan kelas. Sekiranya mereka terpaksa menyiapkan tugasan yang amat
penting, ini bolehlah dimaafkan. Murid-murid yang datang ke sekolah saban hari
mengharapkan ilmu pengetahuan daripada guru.Sejak awal pagi mereka telah bangun
meredah kesejukan pagi dengan satu niat yang maha suci untuk belajar. Tetapi
apalah malangnya nasib mereka apabila ada segelintir guru yang mengabaikan
tugas untuk mencurahkan ilmu. Sebenarnya pelbagai perkara yang tidak diingini
boleh berlaku apabila ketiadaan guru di dalam kelas. Pelbagai gejala negatif
akan timbul jika tiada kawalan guru.Secara peribadi, penulis laporan artikel ini
berpendapat seharusnya gejala lewat masuk kelas dan langsung tidak masuk kelas
kerana alasan-alasan yang remeh-temeh sudah tidak boleh diterima lagi.
Mengikut
pemerhatian saya semasa praktikal dan internship di sekolah, saya juga ternampak
fenomena negatif yang sama berlaku dengan apa yang ditulis dalam laporan artikel
tersebut. Pada permulaannya, saya tidak berapa mengambil berat tentang masalah
ini. Namun ada satu kali murid-murid kelas saya memberitahu bahawa guru kelas
mereka setiap kali akan lewat masuk ke kelas. Setiap kali loceng sudah berbunyi
dan saya hendak keluar ke kelas, mereka akan meminta saya jangan keluar dulu
dan meneruskan pengajaran dan
pembelajaran saya lagi. Saya berasa amat aneh, dan tidak berapa percaya dengan
apa yang mereka kata. Mereka panggil saya membuat satu eksperimen, tengok
berapa lama guru kelas itu masuk ke kelas. Memang, guru itu telah pun datang
selepas 20minit kemudian dengan langkah perlahan-lahan. Apabila dia nampak saya
masih dalam kelas, dia berterima kasih
kepada saya kerana membantunya mengawal kelas. Ada satu kali lagi, dia memesan
saya mencari dia di kelas pada waktu akhir untuk mengambil barang dengannya di
bilik seni. Saya sudah lewat 10minit
pergi mencari dia di kelas itu, tetapi apabila saya sampai sana, kelas itu
tiada guru, murid-murid membuat bising, jalan sana sini. Selepas itu, rakan
sejawat saya memberitahu saya bahawa guru ini ada di kantin. Saya pun mencari dia
di kantin. Apabila saya nampak dia, dia sedang melengan-lengan serta berbual-bual
dengan penolong pengetua sambil memilih lauk pauk di sana. Saya kemudian menanyakannya “kenapa puan tidak
ada di kelas, bukannya puan pesan saya cari puan?” Dia hanya senyum sahaja dan
kemudian kami berdua mencari bahan hiasan di bilik seni. Dia pun mencari
bersama-sama dengan saya sehingga loceng berbunyi dan waktunya pun sudah habis.
Akhirnya, dia tidak masuk ke kelas. Ini sudah bukan lewat ke kelas, ini panggil
tidak masuk ke kelas kerana perkara yang remeh temeh. Selain itu, Penolong kanan pengetua, ketua kurikulum ataupun guru akan sering memesan kami untuk
menggantikan kelas mereka . Kadang-kala alasan mereka adalah bagi kami membuat “kajian
tindakan” dan sebenarnya kami juga perlu waktu yang extra bagi membuat “kajian
tindakan” dengan murid-murid. Jadi, ini merupakan satu situasi dipanggil “win
win”. Bukan ini sahaja, guru yang tidak masuk kelas kerana terdapat pelbagai kertas
kerja kena buat, bermesyuarat, berkhusus, pergi hospital memeriksa badan kerana
ada “appointment” dengan doctor dan sebagainya. Masalah ini perlu dititikberatkan sebelum ia
menjadi parah.
Kegagalan guru mematuhi ketetapan masa
akan menimbulkan beberapa kesan. Perkara yang ingin dibincangkan di sini ialah
bukan hanya melihat kesan kepada guru tetapi juga kesan kepada murid itu
sendiri memandangkan isu penyalahgunaan masa ini sebenarnya lebih banyak
merugikan mereka. Beberapa kesan yang dapat dilihat ialah:
a) Keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran tidak maksimum akibat kurangnya kualiti dan
produktiviti.
Apakah yang dimaksudkan oleh kualiti dan
produktiviti? MS ISO 9000 mendefinisikan kualiti sebagai keseluruhan ciri-ciri
sesuatu entiti iaitu produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak
pelanggan yang dinyatakan dan tersirat. Dalam perkhidmatan pendidikan, guru
hendaklah menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak pelanggan iaitu
murid dan ibu bapa. MS ISO 9000 mula digunapakai seperti yang tercatat di dalam
Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2/1996 : Garis Panduan Bagi
Melaksanakan MS ISO 9000 dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, kakitangan awam
juga boleh merujuk kepada Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Bil 2/2002 :
Garis Panduan bagi Melaksanakan MS ISO 9000:2000 Dalam Perkhidmatan Awam.
Kualiti menyentuh tentang kefahaman kehendak dan pengharapan pelanggan. Ini
menghendaki guru menunjukkan kemampuan mereka dalam merekabentuk perkhidmatan
seperti yang diperlukan dan diharapkan murid dan ibu bapa.
Apakah pula yang dimaksudkan oleh
produktiviti? Merujuk kepada Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 6
Tahun 1991 : Panduan Mengenai Peningkatan Produktiviti dalam Perkhidmatan Awam,
produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kuantiti output yang dapat
dihasilkan oleh satu unit input. Maka, output merujuk kepada keluaran atau
perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi. Dalam konteks sekolah
sebagai organisasi, input perujuk kepada ilmu dan kemahiran yang diberikan
kepada murid manakala output merujuk kepada tingkahlaku dan pengadaptasian ilmu
dan kemahiran oleh murid itu sendiri. Mengapa pula kualiti dan produktiviti
adalah berkaitan dengan penyalahgunaan masa? Jika kita merujuk kepada
Pekeliling tadi, Kerajaan Malaysia ada menggariskan beberapa panduan untuk
meningkatkan produktiviti. Salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ialah
pihak pentadbiran sekolah mengambil langkah-langkah bagi mengukuhkan
faktor-faktor yang mempengaruhi produktiviti. Faktor-faktor tersebut ialah:
i.
Tenaga manusia (guru-guru)
ii.
Sistem dan prosedur
iii.
Struktur organisas
iv.
Gaya pengurusan
v.
Persekitaran kerja
vi.
Teknologi
vii.
Bahan-bahan
viii.
Kelengkapan modal
Kesemua faktor di atas menyumbang kepada
produktiviti Negara. Maka tidak syak lagi jika penyalahgunaan masa guru akan
menyebabkan kurangnya produktiviti kerana guru tidak bersikap positif, berada
dalam persekitaran yang kurang kondusif, tidak menyediakan atau menggunakan
teknologi dalam pengajaran, tidak menyediakan bahan dan alatan yang bersesuaian
dan tidak melakukan refleksi pengajaran untukmengenalpasti dan menyelesaikan
masalah murid. Penyalahgunaan masa menyebabkan guru tidak membuat persediaan
rapi dalam menentukan dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
b) Kepimpinan Melalui Teladan
tidak diaplikasikan.
Guru adalah ‘role model’ murid. Maka,
guru perlu menghayati slogan kepimpinan melalui teladan. Ini disebabkan oleh
murid suka meniru perlakuan, memek muka, pakaian malah personaliti guru
tersebut. ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ merupakan slogan yang
dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 19 Mac 1983. Slogan ini
diwujudkan bagi menanam dan memupuk sifat kepimpinan yang berkesan bagi
dicontohi dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain itu, ia juga
dapat menerap nilai kebertanggungjawab dan etika murni di kalangan kakitangan
awam. Guru merupakan antara orang yang paling kerap mendampingi murid
selain ibu, bapa dan ahli keluarga mereka. Malah, kebanyakan murid sering
mendengar kata guru berbanding dengan ibu dan bapa mereka sendiri. Malah,
mereka juga kerap bercerita kepada ibu bapa tentang kehebatan guru. Tetapi
sekiranya guru mereka sering menghabiskan waktunya dengan perkara yang tidak
berfaedah, apakah pula pandangan dan cerita yang akan didengari oleh ibu bapa mereka?
Tentunya ini akan menimbulkan pandangan yang negatif dari pihak ibu bapa dan
mengundang tanggapan yang negatif dari murid-murid juga.
c) Penambahbaikan
dalam kaedah dan strategi pengajaran tidak berlaku.
Sekiranya guru tidak menggunakan masa terluang
kita untuk membuat kajian tindakan, guru tidak dapat membuat penambahbaikan
terhadap teknik pengajaran mereka. Kajian tindakan ialah kajian yang dibuat
berdasarkan sesuatu situasi iaitu mendiagnos sesuatu masalah dan cuba mengatasi
dalam konteks itu. Ada baiknya jika guru terus menulis refleksi pengajaran
selepas sesi pembelajaran dilaksanakan atau selepas sesuatu tajuk diajar.
Selepas itu, guru tersebut hendaklah membuat kajian tindakan untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Guru boleh menggunakan masa senggang di antara
waktu pengajaran atau sewaktu sesi persekolahan untuk mencari jalan
penyelesaian. Guru boleh merujuk artikel akademik seperti jurnal pendidikan,
bertanya kepada guru lain, merujuk kepada guru cemerlang dan jurulatih utama
ataupun merujuk kepada kajian penyelidikan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Menurut
Stenhouse (1975), penyelidikan tindakan bukan sahaja menyumbang kepada
pengajaran dan pembelajaran tetapi kepada teori pendidikan dan pengajaran yang
boleh diakses oleh guru-guru lain. Maka, jika penyelidikan tindakan dijalankan,
guru boleh berkongsi maklumat dengan guru lain untuk menyelesaikan sesuatu
masalah. Semua perkara ini boleh dilakukan pada waktu persekolahan sekiranya
guru tidak berhasrat untuk menyalahgunakan masa.
d) Tidak
maju akibat tidak positif dan tiada matlamat hidup.
Terdapat segelintir guru yang tidak
mempunyai matlamat hidup. Mereka tiada fokus tertentu dalam kerjaya mereka.
Maka, mereka tidak tahu untuk memenuhi masa di sekolah mereka. Sebagai guru,
seharusnya mereka menetapkan satu atau lebih matlamat untuk dicapai. Contohnya,
Cikgu Hadi mempunyai matlamat untuk menjadi guru cemerlang Matematik dalam
tempoh 2 hingga 3 tahun lagi. Untuk mencapai matlamatnya, Cikgu Hadi merancang
untuk mendokumentasikan aktiviti pengajaran dan pembelajarannya sebelum memohon
jawatan tersebut. Oleh itu, Cikgu Hadi akan menggunakan masa senggang di
sekolah untuk menyediakan dokumentasi tersebut. Guru juga hendaklah lebih
positif dalam menentukan hala tujunya dalam kerjaya. Sebagai guru yang positif,
mereka sentiasa berfikir untuk memenuhi keperluan murid. Jadi, masa terluang
tersebut akan digunakan untuk memikirkan sesuatu yang dapat meningkatkan
motivasi intrinsik agar dapat melakukan tugasnya dengan lebih ikhlas dan
bersungguh-sungguh. Terdapat beberapa ciri guru yang berfikiran positif iaitu
optimis, bersemangat, keberanian, keyakinan, keazaman, kesabaran, ketenangan
dan fokus. Sekiranya seorang guru itu mempunyai matlamat kerjaya dan bersikap
positif, maka isu penyalahgunaan masa ini dapat dikurangkan.
Merujuk kepada
permasalahan yang dinyatakan, terdapat dua punca utama kenapa masalah ini boleh
berlaku iaitu individu dan pentadbir. Pertama, individu dalam konteks ini iaitu
guru mempunyai sikap malas dan tidak ambil peduli, kurang komitmen dalam kerja,
kurang nilai dalam kehidupan, dan etika kerja yang lemah. Apabila sikap ini
wujud, maka individu tersebut mengambil ringan tugas yang telah diamanahkan
sehinggalah tiada lagi rasa tanggungjawab untuk bersungguh-sungguh dalam
mendidik anak bangsa dan apa yang penting bagi mereka hanyalah gaji yang bakal
diterima pada setiap bulan.
Punca seterusnya
adalah daripada pihak pentadbir. Penguatkuasaan yang lemah dan kurangnya
pemantauan yang dilakukan telah mendorong kepada berlakunya permasalahan ini.
Apabila tiada pemantauan dan penguatkuasaan juga lemah, maka guru-guru menjadi
lebih berani untuk menyalahgunakan masa kerana mereka tidak perlu risau akan
akibat daripada tindakan mereka.
Masalah ini
jika tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada banyak
pihak terutamanya kepada guru sebagai ahli professional dan murid-murid. Antara
kesan yang boleh dilihat daripada permasalahn ini adalah merosotnya prestasi
kerja guru dan pencapaian pelajar di sekolah. Masyarakat juga akan memandang
sinis akan profesion keguruan dan tidak yakin dengan kebolehan guru dalam
mendidik anak-anak mereka.
Menyedari
akan kesan yang akan menimpa jika permasalahan ini tidak dibendung, maka semua
pihak termasuk pihak pentadbir, rakan sejawat, dan individu itu sendiri perlu
memainkan peranan bagi memastikan permasalahn ini tidak terus menular dan
menjari semakin parah dan teruk.
Isu penyalahgunaan masa di kalangan
guru-guru dapat diselesaikan menggunakan Teori Pilihan dan Terapi Realiti.
Namun, persoalan utama yang perlu dilalui oleh guru ialah adakah mereka mahu
mengubah tingkahlaku mereka kepada sikap yang lebih baik? Teori
Pilihan membincangkan bagaimana individu itu bertingkahlaku dan mengapa mereka
bertingkahlaku berdasarkan perspektif kawalan luaran, psikologi kawalan
dalaman, dunia kualiti, keperluan masa, dunia pengertian, dunia sebenar, nilai
dan pengetahuan, skala perimbangan, tingkahlaku keseluruhan, sistem
tingkahlaku, identiti berjaya dan identiti gagal.
Merujuk
kepada teori ini, guru seharusnya mengkaji semula tingkahlaku mereka bagi
mengenalpasti mengapa mereka menyalahgunakan masa mereka berdasarkan kepada
faktor-faktor yang dinyatakan tadi. Guru hendaklah menetapkan kehendak kualiti
yang ingin dicapai. Dalam kes ini, kehendak kualiti tersebut ialah mengisi masa
senggang mereka di sekolah bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan masa. Bagi
memenuhi identiti berjaya pula, mereka akan mengalami rasa cinta terhadap
kerjaya mereka, rasa dihargai dan keperluan-keperluan psikologikalnya yang
lain. Namun begitu, kadangkala guru perlu melawan identiti gagal mereka seperti
personaliti tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat putus asa. Sebagai
seorang guru juga, mereka bertanggungjawab dalam memilih keputusan dalam hidup
mereka. Setiap pilihan yang mereka buat adalah berdasarkan kepada keperluan
asas mereka. Namun harus diingatkan, bahawa setiap pilihan itu mempunyai beberapa
risiko tertentu. Maka guru seharusnya memilih tingkahlaku yang efektif sahaja
agar dapat membentuk identiti berjaya.
Terapi
realiti pula adalah bagaimana kita dapat membantu diri kita dan orang lain.
Terdapat empat proses dalam melaksanakan Terapi Realiti ini iaitu W(wants),
D(directions),
E(evaluation) dan P(planning).
Proses
menyelesaikan isu penyalahgunaan masa ini dapat dilakukan seperti di bawah:
a) Wants (
keperluan, kehendak dan persepsi )
Dibawah proses ini, guru hendaklah menentukan matlamat
mereka dalam kehidupan. Matlamat utama mereka ialah menyelesaikan masalah
penyalahgunaan masa. Masalah ini perlu dilihat dalam skop yang lebih kecil.
Maka guru hendaklah menggariskan beberapa matlamat yang lebih kecil.
Matlamat-matlamat tersebut ialah, menentukan aktiviti pada masa senggang,
menepati masa apabila masuk ke dalam kelas, mendahulukan perkara yang lebih
penting dan menentukan kaedah pengajaran terbaik yang perlu dilaksanakan di
dalam kelas. Semua matlamat ini hendaklah ditulis dengan jelas di atas satu
kertas yang mudah menjadi rujukan guru tersebut.
b) Directions ( terarah
dan lakukan )
Dalam proses ini pula, pengalaman masa lampau perlu
dilihat untuk membentuk masa hadapan. Beberapa perkara perlu dilihat semasa
proses ini berlaku. Dari segi perasaan, guru hendaklah benar-benar cuba untuk
memfokuskan diri mereka untuk mencapai matlamat tersebut. Ini bermakna mereka
perlu menyediakan diri mereka dari segi emosi agar matlamat tersebut dapat
dicapai. Dari segi emosi pula, sokongan keluarga tidak kurang pentingnya.
Selain itu, guru juga hendaklah mempunyai pemikiran yang positif dan sentiasa
yakin bahawa matlamat mereka akan tercapai.
c) Evaluation (
penilaian )
Guru hendaklah memikirkan bahawa adakah matlamat mereka
akan tercapai ataupun tidak tercapai. Oleh sebab itu, guru hendaklah memikirkan
beberapa halangan yang akan dihadapi oleh mereka untuk mencapai matlamat yang
diingini. Halangan yang paling besar adalah datangnya dari diri mereka sendiri.
Dalam kes ini, motivasi intrinsik memainkan peranan yang paling penting untuk
menyelesaikan masalah mereka. Maka guru perlu memikirkan langkah yang terbaik
untuk meningkatkan motivasi intrinsik mereka. Halangan yang seterusnya datang
dari keluarga guru itu sendiri. Perkara yang baik perlu mendapat sokongan dari
keluarga sama ada pasangan, anak-anak mahupun ibu bapa. Sokongan dari pentadbir
dan rakan sejawat tidak kurang pentingnya.
d) Plan (perancangan)
Setelah membuat penilaian dan menyenaraikan matlamat,
guru perlulah membuat perancangan tindakan yang ingin dilakukan. Senarai yang
dibuat perlulah mendahulukan perkara yang lebih penting dulu. Pada masa yang
sama, guru perlulah sentiasa menanamkan azam yang kuat untuk melakukan aktiviti
tersebut demi mengatasi masalah penyalahgunaan masa. Guru hendaklah melakukan
muhasabah diri agar dapat memikirkan perkara yang dilakukan adalah adalah kea
rah kebaikan. Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini
ialah:
a. Masuk ke
kelas awal dan keluar tepat pada masanya.
b. Melakukan reflesi
pengajaran dan pembelajaran.
c. Berbincang
dengan Ketua Panitia dan rakan-rakan sejawat mengenai hal-hal pengajaran dan
pembelajaran.
d. Meneroka maklumat
baru dari internet atau jurnal-jurnal pendidikan.
e. Menjalankan
penyelidikan tindakan.
f. Memberikan
latihan yang mencukupi dan memenuhi standard kecukupan.
Selain itu,
pihak pentadbir perlulah sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa
terhadap prestasi kerja guru-guru di sekolah. Dengan adanya pemantauan secara
berterusan, maka peluang guru untuk menyalahgunakan masa di sekolah adalah
terbatas. Seterusnya, pihak pentadbir juga perlu berusaha mengenal pasti dan
bersedia memberikan khidmat nasihat kepada guru yang bermasalah. Jika pihak
pentadbir tidak mampu, maka bolehlah merujuk guru tersebut kepada kaunselor.
Akhirnya, pihak pentadbir boleh mengambil tindakan tegas dengan memberikan
amaran dan mengenakan tindakan tatatertib kepada guru yang terlibat jika
masalah yang dilakukan adalah serius dan berulang. Dengan cara ini, guru-guru
akan sedar kesilapan diri dan tidak akan mengulanginya lagi.
Rakan sejawat
juga perlu memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Rakan sejawat perlulah
menjadi teladan kepada rakan-rakan yang bermasalah memberikan nasihat dan
dorongan supaya guru yang terlibat dalam penyalahgunaan masa itu dapat mengubah
dirinya. Selain itu, individu yang terlibat juga perlu memainkan peranan dalam
usaha untuk berubah menjadi lebih baik. Antara cara yang boleh dilakukan adalah
dengan cara sentiasa muhasabah diri tentang apa yang telah dilakukan. Dengan
cara ini, segala kekuatan dan kelemahan dapat dikenalpasti dan diperbaiki. Ia
juga akan menimbulkan kesedaran untuk berusaha menjadi lebih baik. Seterusnya,
guru perlu bijak dalam memilih kawan yang mampu menjadi teladan agar diri akan
lebih terarah untuk mencontohi sifat-sifat yang ideal sebagai seorang guru.
Akhir sekali, guru juga boleh menyediakan log aktiviti supaya tugas dapat
dilaksanakan dengan lebih terancang dan tiada pembaziran masa.
Masa adalah sangat berharga kepada
manusia. Di dalam al-Qur’an, Surah Al-‘Asr, Allah menerangkan kepada manusia
tentang kepentingan masa. “Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Kecuali
mereka yang beriman dan beramal soleh. Mereka menyeru kepada kebenaran dan
menyeru kepada kesabaran.” Maka, di dalam Islam itu sendiri telah menyatakan
bahawa manusia yang tidak menggunakan masa dengan betul adalah orang-orang yang
kerugian. Tugas guru adalah sebagai penyampai ilmu pengetahuan. Sekiranya kita
tidak cuba menerapkan kepentingan masa kepada murid, maka, kita sebagai guru
boleh dikatakan tidak berjaya memberi satu ilmu yang amat berguna. Pepatah Arab
ada menyebut bahawa masa adalah ibarat pedang. Jika kita tidak menggunakan
untuk memotong, ia akan memotong kita. Pepatah Cina pula menyebut bahawa semua
bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari ini. Sebagai
guru, kita hendaklah menghargai masa yang diberikan kepada kita terutamanya
dalam waktu persekolahan. Ada juga yang mengatakan bahawa bertangguh itu
pencuri masa. Orang yang tidak tahu menggunakan masa pula dikatakan orang yang
mati. Kesemua kata-kata hikmat di atas menunjukkan kepentingan masa yang perlu
dihayati insan bernama guru.
Secara
keseluruhannya, guru perlu memahami bahawa penyalahgunaan masa adalah melanggar
etika profession perguruan. Bukan itu sahaja, penyalahgunaan masa juga
melibatkan hokum agama yang mengundang kepada rezeki yang halal. Sebagai guru,
seharusnya kita menggunakan masa yang diperuntukkan kepada kita dengan
perkara-perkara yang dapat member faedah yang berguna untuk pelajar-pelajar kita.
Sebagai guru, kesedaran terhadap penyalahgunaan masa sangat penting dan perlu
diberi perhatian. Justeru seluruh warga pendidik
perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk membentuk murid-murid ini menjadi
warganegara yang berguna, berilmu, berdisiplin dan berketrampilan.
ARTIKEL :
No comments:
Post a Comment