Sunday 2 September 2012

Ramai Guru Sakit Jiwa


NAMA: EVELYN CHONG HONG WOOI
Ramai Guru Sakit Jiwa

            Dunia pendidikan semakin mencabar pada hari ini, pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan sering dibincang melalui media massa.  Melalui pelbagai isu guru dan keguruan yang saya dapati daripada Internet, saya telah memilih satu artikel dari Kosmo yang merupakan laman web rasmi yang bertajuk ‘Ramai guru sakit jiwa’. Isu keguruan tersebut telah menarik perhatian saya, kerana isu tersebut memberi impak yang besar kepada profesion saya sebagai seorang guru pada masa akan datang. Saya mesti mendapat pemahaman yang lebih baik tentang isu tersebut dan mendapatkan inspirasi daripadanya untuk menjadi seorang guru yang berprofesional dalam bidang keguruan.

           Daripada artikel yang saya bacakan, dikatakan profesion perguruan telah terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Dengan pemahaman saya mengenai tekanan emosi, tanda-tanda awal tekanan mental akan bermula dengan kemurungan. Kemudian guru akan mula hilang tumpuan mengajar, dia akan berasa bosan dengan berdepan dengan guru dan murid, dia memilih untuk menjadi pendiam, jika berlarutan guru tersebut tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian. Guru yang mengalami tekanan juga kemungkinan besar akan bertindak dengan cara yang tidak dapat diterima akal seperti memukul dan menengking pelajar. Tindakan seperti itu boleh menjejaskan profesionalisme mereka sebagai seorang pendidik. Guru seharusnya perlu mengetahui cara terbaik untuk menguruskan tekanan yang dihadapi terutamanya pada zaman yang mencabar ini. Tindakan yang tidak betul akan memungkinkan rekod bersih mereka tercalar ditambah pula dengan pelbagai tindakan disiplin akan dikenakan kepada mereka sebagai satu bentuk hukuman.

         Sebelum berbincang dengan mendalam mengenai isu tekanan emosi yang dihadapi oleh para guru, marilah kita memahami apakah itu tekanan? Perkataan tekanan mula diperkenalkan dalam dunia perubatan oleh Hans Selye pada tahun 1949. Smither (1994), menyatakan bahawa tekanan adalah satu tindakbalas fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Ini bermaksud, apabila individu telah mendapat permintaan ataupun diberi harapan oleh seseorang maka adalah menjadi tanggungjawab individu tersebut untuk memastikan permintaan dan harapan tersebut tercapai. Dari perspektif yang lain, apabila harapan dan permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi sepenuhnya atas sesuatu sebab atau masalah, individu terbabit akan mula berasa tertekan.

        Apakah punca-punca yang menyebabkan ramai guru mengalami tekanan emosi? Punca pertama adalah kerana bebanan kerja yang terlalu banyak dikenakan kepada guru. Isu bebanan tugas guru bukan perkara baru, malah sudah berlarutan sejak sekian lama hingga Menteri Pelajaran telah berganti pun, rungutan itu masih kedengaran. Bebanan kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, menjadi guru bimbingan kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

         Merujuk kepada artikel tersebut, Zaimah Mishan, 42, yang pernah mengalami sakit jiwa. Beliau katakan dia pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak. Masa untuk bekerja di sekolah lebih banyak berbanding bersama dengan keluarganya. Dari hari Isnin hingga Jumaat, beliau perlu mengajar seperti biasa, kadang-kadang beliau diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan alirannya. Pada hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru perlu terlibat dan hari Ahad pula beliau selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun beliau terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda. Dinampak guru mempunyai bebanan kerja yang banyak sampai tidak ada masa untuk menenangkan emosi, sekiranya guru terbabit tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, maka sudah pastinya tekanan yang datang dalam bentuk permintaan ini tidak mampu dihadapi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan individu tersebut tertekan.

          Dengan pengetahuan saya, masalah tersebut bukan sahaja berlaku pada Zaimah sahaja, saya percaya bahawa ramai guru menghadapi masalah yang sama. Semasa internship saya, saya sering mendengar guru-guru di sekolah mengadu bahawa mereka mengalami kekurangan masa, guru terpaksa melaksanakan pelbagai tugasan yang berkaitan dengan akademik, pentadbiran dan kokurikulum menyebabkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding di rumah. Mereka bukan sahaja bergelut untuk menyiapkan tugasan masing-masing di sekolah mengikut jadual yang ditetapkan malahan perlu memastikan tugas-tugas di rumah dan tugas-tugas sosial juga berjalan lancar terutamanya bagi yang sudah berkeluarga ataupun yang terlibat dalam aktiviti sosial.

          Selain daripada bebanan kerja yang banyak seperti sibuk dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah yang menyebabkan guru berasa tertekan, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain. Punca kedua yang menyebabkan guru mengalami tekanan emosi adalah guru yang terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, rakan sekerja, ibu bapa dan juga pelajar juga akan menyebabkan guru berasa tertekan. Menurut kajian Pratt (1978) menyokong dapatan kajian Borg, Riding dan Fazlon (1991). Kyriacou (1978), Rudd dan Wiseman (1962) yang melaporkan bahawa tekanan kerja yang dialami dalam kerjaya perguruan disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah hubungan antara kakitangan di sekolah dan tidak ada kerjasama dari murid-murid dan ibu bapa yang agresif.

          Konflik yang berlaku di tempat kerja akan memberi kesan kepada perhubungan peribadi seseorang di mana ianya akan menyebabkan seseorang berasa tertekan. Tambah pula, kualiti persekitaran sosial di tempat kerja juga akan membawa kepada tekanan. Daripada pengalaman saya yang mengajar di sekolah sewaktu internship, saya mendapati ramai guru suka bergosip di bilik guru. Kelakuan buruk ini akan menyebabkan guru yang menjadi buah mulut orang lain berasa malu, kecewa dan muram, guru tersebut yang tidak dapat berfikir secara terbuka lama-kemudian akan mengalami tekanan emosi dan ini mengakibatkan guru tersebut tidak ada semangat untuk mengajar. Menurut kes Noreha daripada artikel tersebut, guru tersebut mengalami tekanan emosi dan hendak mengambil cuti untuk berjumpa doktor. Tetapi rakan sejawatan banyak memberi tekanan kepadanya, yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang. Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti..

         Selain itu, guru perlu berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa yang agresif yang akan menyebabkan guru mengalami tekanan emosi. Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini berada pada paras yang agak serius, guru tidak terlepas daripada berhadapan dengan perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadang kala menyakitkan hati. Antara contoh perlakuan pelajar yang membangkitkan kemarahan guru termasuklah datang lewat ke kelas, membuat bising ketika sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, tidak hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah, bersikap biadap dengan guru dan sebagainya. Guru yang mengajar kerap kali berhadapan dengan situasi sebegini dan adalah menyedihkan apabila masalah ini masih lagi belum mampu diselesaikan sepenuhnya. Akhirnya guru mengambil keputusan yang agak drastik dan berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Emosi guru yang tidak stabil mengakibatkan tindakan guru menjadi tidak waras telah melanggar etika dan tatatertib seorang pendidik. Sebagai contoh, 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam yang kotor oleh Warden Asrama mereka disebabkan masalah disiplin (Utusan Malaysia, 2007).

          Guru bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang bermasalah tetapi juga berhadapan dengan ibu-bapa pelajar yang memberi harapan yang amat tinggi kepada para guru untuk menjadikan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran. Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah. Hal ini dapat dibuktikan menerusi kajian yang telah dijalankan oleh Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2006 yang mendapati bahawa 83% daripada guru telah mengalami tekanan akibat harapan tinggi yang diletakkan oleh ibu-bapa pelajar yang mengharapkan guru-guru di sekolah boleh membantu untuk menjadikan anak-anak mereka sebagai pelajar yang cemerlang dalam akademik. Akibat daripada harapan yang terlampau tinggi, kebanyakan guru terpaksa menghabiskan banyak masa mereka di sekolah untuk mengadakan kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan bagi memastikan harapan ibu-bapa dipenuhi (Berita Minggu, 2007).

          Menurut Burke (1988), keadaan fizikal seperti bunyi bising, keadaan tempat kerja yang sempit dan terlalu ramai orang berada di tempat kerja ataupun kekurangan ruang untuk privasi boleh dihubungkan dengan tekanan. Melalui beberapa kali pengalaman mengajar di beberapa sekolah cina, saya mendapati bahawa tempat kerja guru adalah sangat sempit, tempat duduk guru sering dikelilingi dengan pelbagai buku, tempat duduk antara guru dengan guru lain adalah terdekat kerana ruang bilik guru adalah kecil. Disebabkan itu, guru akan berasa amat tertekan dengan ruang yang begitu sempit sampailah tidak boleh bernafas, guru tidak ada ruang yang secukupnya untuk memberi tumpuan ke atas tugasnya.

          Keadaan ini menjadi semakin serius yang mampu melanda negara kita jikalau pihak menteri pelajaran tidak memberi perhatian dan mengadakan sebarang perubahan ke atas isu tersebut. Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru. Dinampak kesan daripada tekanan emosi yang dialami oleh para guru adalah begitu dibimbangkan. 

         Semua bentuk kerja merupakan sumber utama yang menyumbang kepada bebanan tugas. Ini mungkin disebabkan kerja yang diberikan kepada guru adalah tidak sesuai ataupun terlampau banyak sehingga menimbulkan beban kepada guru yang terbabit. Bebanan tugas yang melampau dalam sesuatu bidang pekerjaan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja sesebuah organisasi mampu memberi kesan yang negatif bukan sahaja terhadap pekerja yang terlibat tetapi juga kepada organisasi itu sendiri (Sanders, 1992). Walaupun seseorang guru itu memang berbakat dan cekap dalam mengajar, dalam masa yang sama bebanan kerja yang melampaui batas akan menyebabkan tekanan emosi dan  prestasi kerjanya menurun dengan mendadak akibat kepenatan fizikal dan mental.

         Pada pendapat saya, sekiranya guru gagal mempelajari cara-cara untuk menangani tekanan, maka mereka boleh dianggap sebagai gagal di dalam kerjaya mereka kerana mereka tidak mampu untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka dengan berkesan. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Overland (2004), bahawa tekanan akan memberi kesan kepada prestasi pengajaran guru, di mana pelajar yang belajar dengan guru yang mengalami tekanan akan mengalami masalah prestasi pembelajaran yang bukan disebabkan oleh salah pelajar itu sendiri. Menurut Girdano (1979), individu tidak mungkin dapat berfungsi dengan berkesan dan produktif jika ia dalam keadaan tertekan. Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang, tidak dapat memusatkan perhatian kepada kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan. Hal-hal ini akan menghalang guru tersebut untuk mewujudkan sifat peribadi yang positif, apa lagi sifat toleransi dan kasih sayang. Merujuk kepada artikel yang saya bacakan, kesan negatif yang akan didapati daripada tekanan emosi adalah guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang. 

           Selain itu, apabila terlalu banyak masa ditumpukan di tempat kerja, maka tugas-tugas di rumah dan di luar rumah tidak berjalan dengan lancar akibat kekangan tadi. Jaafar Muhammad (2003), menyatakan kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan perhubungan sosial dengan masyarakat setempat, ini termasuklah berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan melakukan aktiviti bersama ahli keluarga, jiran tetangga, rakan-rakan mahupun ahli-ahli bagi persatuan ataupun kelab yang disertai mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan menggangu pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas di sekolah.

           Diakui terdapat segelintir dari guru terlibat dalam gejala ponteng disebabkan sebab-sebab tertentu. Menurut Randolfi (1996), salah satu daripada kesan tekanan yang terlalu tinggi dalam kalangan pekerja boleh mengakibatkan pelbagai kesan seperti psikologi, fizikal, tingkahlaku dan organisasi di mana salah-satu daripada kesan organisasi ialah ianya membawa kepada ketidakhadiran pekerja. Disebabkan kerjaya guru yang mencabar sudah pastinya mereka akan berhadapan dengan pelbagai jenis tekanan sepanjang berada di sekolah. Akibat daripada tekanan yang dihadapi, tidak mustahil bagi seseorang guru bertindak untuk ponteng kerja seiring dengan kenyataan Randolfi. Kemungkinan guru bertindak demikian supaya mereka berada jauh dari sekolah dan segala tekanannya untuk mendapatkan ketenangan jiwa.

          Ini turut disokong oleh Ho (1997), yang mengatakan tekanan di dalam organisasi semakin merisaukan pengamal pengurusan kerana memberi kesan terhadap keberkesanan perjalanan sesebuah organisasi. Saya berpendapat bahawa punca utama guru bertindak tidak menghadirkan diri ke sekolah adalah disebabkan masalah psikologi akibat tekanan kerja. Ketidakhadiran guru boleh membawa masalah yang serius kepada sekolah lebih-lebih lagi apabila ianya berlaku secara kerap. Segala aktiviti sekolah akan tergendala kerana mereka yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas tersebut tidak mampu untuk menyelesaikannya mengikut perancangan yang telah dibuat. Kegagalan guru menyiapkan tugasan mereka mengikut jadual akan turut menggangu kelancaran tugasan guru lain dalam organisasi. Bagi jangka masa panjang, sekolah akan menjadi semakin lemah kerana tidak mempunyai kekuatan untuk membangun serta bersaing angkara sumber manusianya yang kerap ponteng kerja. 

           Di sekolah, jikalau guru-gurunya sering mengamalkan perlakuan negatif ini. Ketiadaan guru ketika khidmat mereka ditagih akan menjadikan pelajar hilang punca kerana kebergantungan mereka terhadap guru untuk mendapatkan ilmu. Prestasi pelajar dalam peperiksaan juga akan menurun apabila guru gagal untuk menghabiskan silibus pengajaran seperti yang terkandung dalam rancangan pengajaran mereka. Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga tidak akan berjalan dengan lancar tanpa kehadiran guru untuk memberi khidmat nasihat dan panduan berguna kepada persatuan dan kelab. Pentadbiran sekolah juga turut bergerak perlahan kerana tidak mendapat kerjasama penuh daripada guru yang bertindak “menghilangkan diri” dalam memastikan segala laporan, kertas kerja dan data pelajar dihantar tepat pada waktunya untuk memudahkan pihak sekolah membuat perancangan tahunan.

           Boleh dikatakan, sebab tekanan yang melanda guru pada hari ini berlaku kerana kurangnya pengetahuan guru di dalam kaedah-kaedah untuk berhadapan dan menangani tekanan yang berlaku di sekolah. Kekurangan pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengurus tekanan telah membawa guru-guru ini berada dalam keadaan yang serba-salah kerana tidak mengetahui kaedah apakah yang paling sesuai untuk digunakan bagi meredakan perasaan tertekan. Apabila masalah ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang jalan penyelesaian diambil maka para guru akan mula terfikir untuk melakukan pekerjaan lain yang tidak lagi relevan dengan kerjaya mereka kerana merasakan jawatan sebagai seorang guru adalah memeningkan kepala dan tidak menyeronokkan langsung. Ini selaras dengan saranan Jesus bahawa guru yang tidak bersedia untuk berhadapan dengan tekanan akan bertindak meninggalkan kerjaya sebagai seorang guru dan melakukan kerja-kerja lain yang tidak berkaitan dengan dunia pendidikan (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001).

         Menurut penulis yang sama juga, telah mengatakan bahawa dalam kajian yang telah dijalankan di Portugal, lebih daripada 50% daripada guru yang menjawab borang soal selidik mengakui mereka mahu mencari kerja lain akibat tekanan yang berlebihan di sekolah. Oleh sebab itu, adalah penting untuk guru mengetahui dan mempraktikkan kaedah-kaedah menangani tekanan dengan berkesan bagi mengelakkan tekanan tersebut menjadi semakin besar yang akhirnya akan memberi kesan yang negatif terhadap guru tersebut.

        Menurut Erkutlu dan Chafra (2006), tekanan yang terlampau tinggi boleh mengakibatkan pekerja meletakkan jawatan dan ini akan memberi kesan dari segi peningkatan kos untuk melatih pekerja baru dan dalam masa yang sama cuba mengekalkan kualiti kerja para pekerja sedia ada. Sesungguhnya apabila kebanyakan daripada guru telah mengambil keputusan untuk bersara lebih awal dari jangka masa yang sepatutnya, ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa pada hari ini. Pelbagai masalah dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh insan yang bergelar guru pada masa kini, daripada disiplin pelajar yang semakin teruk sehinggalah kepada dasar pendidikan yang terlalu kerap diubah oleh pihak kementerian.

          Untuk mengatasi masalah guru yang mengalami tekanan emosi, pihak sekolah boleh mengadakan satu program motivasi untuk mempertingkatkan motivasi. Menurut Jesus dan Conboy (2001), mengatakan bahawa program motivasi yang tersusun mampu untuk membantu para guru menjalankan tugas mereka dengan penuh keyakinan dan kepuasan. Ianya bermaksud, program-program motivasi ini mampu untuk membina semula semangat para guru yang hilang disebabkan kemelut tekanan. Jesus dan Conboy (2000) juga mengatakan, program pendidikan guru telah menunjukkan keberkesanan di dalam meningkatkan kembali motivasi para guru. Hal ini telah membuktikan bahawa program motivasi yang baik mampu memberi kesan yang positif kepada guru di dalam meneruskan kerjaya mereka dalam bidang pendidikan.

            Menurut kajian Kyriacou (1978) yang menunjukkan kepentingan sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guru-guru. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling. 

           Selain itu, seseorang guru perlu belajar cara untuk mengatakan tidak mahu dalam professional, guru boleh menolak tanggungjawab tambahan jika tidak berkemampuan melaksanakannya untuk mengelakkan tekanan. Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup. Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan. Guru boleh cuba mengelakkan kakitangan sekolah yang menyebabkan stress kepadanya. Guru boleh mengurangkan masa berhubungan dengan guru yang menghadapi stress dan suka bergosip. Sebaliknya, menjalinkan hubungan yang erat dengan guru yang sentiasa berfikiran positif dan sanggup memberi bantuan kepada orang lain yang menghadapi masalah. Dalam keadaan stress, guru juga boleh berkongsi pandangannya dengan rakan dan ahli keluarga yang boleh dipercayai.

           Namun begitu, masalah tekanan mental juga boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat. Salah satu cara adalah membuat senaman yang melibatkan pernafasan seperti tai chi dan yoga boleh membangkitkan rasa tenang dan mengurangkan hormon stres. Bagi guru yang tiada masa untuk mengamalkan senaman, cuba luangkan 5 minit saja sehari untuk tarik nafas dalam-dalam perlahan-lahan dan lepaskan semula nafas perlahan-lahan. Teknik yoga dapat mengaktifkan gerak balas pengenduran tuuh badan, jika dilakukan secara berkala, ia dapat menguruangkan tahap stress harian dan situasi ini merupakan suatu suntikan perasaan kegembiraan dan ketenangan. Bagi sesetengah orang, perkataan senaman merupakan sesuatu yang formal dan memenatkan sehingga menyebabkan kita menghindarinya. Sebaliknya, cuba fikirkan senaman sebagai aktiviti fizikal atau pergerakan yang menyeronokkan seperti bermain bersukan dan berkebun. Guru boleh melibatkan anak-anak dan suami supaya aktiviti fizikal menjadi lebih bermakna di samping menggalakkan ahli keluarga bersenam.

         Tambahan pula, saya berpendapat bahawa cara yang amat berkesan bagi guru untuk mengurangkan stres adalah melibatkan diri dalam kumpulan perbincangan atau forum. Terdapat banyak forum guru di internet dimana guru bukan sahaja boleh meluahkan perasaan maka boleh mendapatkan maklumat atau nasihat daripada guru yang berpengalaman yang pernah mengalami masalah yang serupa. Bagi guru yang tidak suka meluahkan emosi kepada orang lain, menulis jurnal dalam blog sendiri juga merupakan satu laluan untuk melepaskan emosi atau tekanan yang terpendam dalam hati.

       Yang paling penting sekali adalah pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Guru jangan melaksanakan terlalu banyak tugas pada masa yang sama dalam tempoh yang singkat. Guru perlu mengutamakan tugas-tugas yang penting dan rancangkan apa yang boleh dicapai dalam tempoh yang ditetapkan. 

        Pada kesimpulannya, tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang guru dalam kerjayanya tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya. Mengikut Waxler (2009), guru seharusnya berfikir secara positif dan satu cara terbaik adalah menyebutkan pemikiran yang positif setiap hari. Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang guru sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks, guru perlu meyukai apa yang dilakukan olehnya dan percaya kerjaya mendidik akan membawa kepuasan yang tinggi kepadanya.

Artikel dari laman web rasmi:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Post a Comment